Raja Muda Perlis sertai 1,200 jemaah solat sunat Aidiladha - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis sertai 1,200 jemaah solat sunat Aidiladha

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Dataran Istiadat Istana Arau, Perlis, hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,200 jemaah di Dataran Istiadat Istana Arau di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil;
anakanda baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Solat tersebut dipimpin imam besar negeri, Amnan Muthqa Azanol manakala khutbah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor yang bertajuk ‘Pengorbanan Memajukan Umat Islam’.

Selepas solat, baginda turut berkenan beramah mesra bersama jemaah yang hadir.

Baginda sekeluarga turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya di negeri yang dikasihi.

Titah baginda, sambutan Aidiladha tahun ini terus disemarakkan dengan syiar Islam bagi memperkukuhkan penghayatan nilai keikhlasan, ketaatan dan semangat pengorbanan dalam kehidupan seharian.

“Nilai-nilai murni ini menjadi pemangkin dalam membentuk masyarakat bersatu padu, harmoni dan berdaya maju, di samping terus mengutamakan kepentingan agama, bangsa dan negara,” titah baginda.

Sementara itu, sambutan Hari Raya Aidiladha di negeri ini diraikan serba sederhana dengan orang ramai menyertai majlis ibadah korban selain mengunjungi saudara terdekat.

Pada tahun ini, kerajaan negeri menyumbangkan 120 ekor lembu bersempena Aidiladha, sekali gus memberi manfaat seluruh rakyat negeri ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN