PETALING JAYA: Peluang untuk Datuk Seri Rafizi Ramli dan sekutunya menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke16 (PRU16) kini terbentang luas selepas Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan yang sebelum ini menghalang mana-mana Ahli Parlimen meletak jawatan bertanding dalam tempoh lima tahun, sudah dimansuhkan.
Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan memperuntuk kan seseorang yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Rakyat hendaklah bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus memaklumkan peruntukan 48(6) telah pun dimansuhkan pada tahun 2022 ketika penggubalan Akta Anti Lompat Parti.
“Peruntukan 48(6) Perlembagaan Persekutuan sudah dimansuhkan. Ia mansuh pada tahun 2022 semasa pindaan Akta Anti Lompat Parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Susulan pemansuhan peruntukan itu, bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, tiada masalah untuk Rafizi dan sekutunya Nik Nazmi Nik Ahmad untuk bertanding semula dalam tempoh terdekat walaupun mengumumkan perletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen.
Katanya, rasional penggubalan Akta Anti Lompat Parti yang diwujudkan adalah seseorang wakil rakyat itu dilantik menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berdasarkan mandat pengundi atas sesebuah parti mereka wakili.
“Jadi akta itu menghalang untuk mereka menyertai mana-mana parti lain selepas dipilih menjadi Ahli Parlimen atau ADUN. Tetapi jika mereka meletakkan jawatan dan memulangkan semula mandat kepada rakyat, tiada masalah untuk kembali bertanding,” katanya.
Azhar yang juga merupakan bekas Pengerusi SPR berkata, Rafizi dan Nik Nazmi dibenarkan bertanding semula dalam mana-mana pilihan raya namun beliau melihat tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pandan serta Setiawangsa pada masa ini.
Katanya, tempoh hayat Dewan Rakyat masa ini hanya berbaki kurang dua tahun daripada tarikh pembubaran automatik bagi memberi laluan kepada PRU16.
“Tarikh sidang Dewan Rakyat pertama selepas PRU15 adalah pada Disember 2022, jadi pembubaran automatik Dewan Rakyat adalah pada Disember tahun depan iaitu kurang dua tahun, jadi tidak perlu diadakan PRK,” katanya.
Bagaimanapun, Azhar berkata, Speaker Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk mengutuskan surat kepada SPR supaya suatu PRK diadakan di Parlimen terbabit sekiranya beliau berpendapat kekosongan itu memberi kesan kepada majoriti yang diperoleh kerajaan ketika ini.
“Sekiranya Speaker Dewan Rakyat berpandangan demikian maka beliau boleh menulis kepada SPR supaya PRK diadakan tetapi berdasarkan komposisi kerajaan ketika ini, saya berpandangan tidak perlu kerana pembubaran automatik Parlimen kurang dari dua tahun,” katanya.
Pandangan sama diberikan Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain yang berkata, tiada lagi halangan untuk kedua-dua Ahli Parlimen tersebut bertanding semula dalam tempoh terdekat selepas peruntukan Perkara 48(6) telah pun dimansuhkan.
“Memandangkan Perkara 48(6) telah dipinda (dimansuhkan) daripada Perlembagaan Persekutuan, isu seorang Ahli Parlimen yang sukarela meletakkan jawatan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang tidak lagi menjadi satu sekatan.
“Kedua-dua mereka, Rafizi dan Nik Nazmi yang meninggalkan PKR atau PH untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak berhalangan untuk bertanding lagi,” katanya. – UTUSAN










