KOTA BHARU: Parti-parti Melayu perlu mengetepikan sengketa politik dan menzahirkan pendirian bersama dalam mempertahankan perkara yang melibatkan kepentingan bangsa, raja dan agama Islam di negara ini.
Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata, konsep ‘Rumah Bangsa’, Musyawarah Nasional dan Kolaborasi Agung yang diumumkan Presiden UMNO bukan bertujuan menggabungkan parti-parti Melayu dalam satu ikatan politik rasmi, sebaliknya menjurus kepada kerjasama serta penyatuan pendirian dalam isu tertentu.
Katanya, antara perkara yang perlu dipertahankan secara bersama ialah berkaitan agama, institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan Melayu.
“Ini lebih kepada penyatuan dalam pendirian kita. Bila timbul isu, kita tak berlumba-lumba untuk tunjuk siapa lebih Melayu atau lebih Islam sehingga merendahkan pihak lain.
“Sebaliknya kita keluar dengan satu pendirian bersama bahawa mana-mana pihak yang mencabar garisan merah itu akan berdepan dengan pendirian tegas semua parti Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-80 UMNO Bahagian Ketereh yang dihadiri oleh Ketua Bahagian Datuk Seri Md. Alwi Che Ahmad.
Khairy turut mengingatkan UMNO supaya tidak terlalu bergantung kepada kemunculan semula beberapa pemimpin lama untuk meraih sokongan rakyat.
Katanya, parti itu perlu terus bekerja kuat dan menawarkan idea baharu bagi meyakinkan pengundi.
“Kalau kita tidak bekerja kuat dan tidak menawarkan idea segar, pengundi tidak akan bersama kita,” ujarnya.-UTUSAN










