Putin ke China selepas lawatan rasmi Trump

Putin ke China selepas lawatan rasmi Trump

PRESIDEN Russia, Vladimir Putin berjabat tangan dengan rakan sejawatnya, Presiden China, Xi Jinping semasa pertemuan di Beijing, China. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin, akan melakukan lawatan dua hari ke China pada Selasa, hanya beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menamatkan lawatan ke Beijing.

Dalam lawatan itu, Putin dijangka berbincang dengan rakan sejawatnya, Presiden China, Xi Jinping mengenai usaha ‘memperkukuh lagi perkongsian menyeluruh dan kerjasama strategik’ antara Moscow dan Beijing, menurut kenyataan Kremlin hari ini.

Kenyataan itu berkata, kedua-dua pemimpin juga akan ‘bertukar pandangan mengenai isu antarabangsa dan serantau utama’ serta menandatangani deklarasi bersama selepas perbincangan tersebut.

Putin turut dijadual mengadakan perbincangan berkaitan kerjasama ekonomi dan perdagangan bersama Perdana Menteri China, Li Qiang.

Pengumuman lawatan Putin itu dibuat sejurus selepas Trump menamatkan lawatan bersejarah ke China pada Jumaat, yang merupakan kunjungan pertama seorang presiden AS ke negara itu dalam hampir satu dekad, meskipun masih wujud ketegangan perdagangan dan geopolitik termasuk konflik Russia-Ukraine.

Walaupun China kerap menyeru rundingan damai untuk menamatkan perang, Beijing tidak pernah mengutuk tindakan Russia menghantar tentera ke Ukraine pada Februari 2022 dan menegaskan pendirian sebagai pihak neutral.

China juga menafikan dakwaan membekalkan senjata kepada Russia, sebaliknya menyalahkan negara Barat kerana memanjangkan konflik dengan membekalkan senjata kepada Ukraine.

Sebagai pembeli terbesar bahan api fosil Russia, China menjadi rakan ekonomi utama Moscow, khususnya selepas sekatan ekonomi Barat dikenakan terhadap Rusia akibat konflik tersebut.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN