KOTA BHARU: Kegiatan seorang lelaki memproses dan menjual air ketum secara separuh masa sejak Januari lalu terbongkar selepas rumah sewanya di Kampung Sungai Demit, Kubang Kerian di sini diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA), kelmarin.
Dalam serbuan pukul 10.30 malam itu, anggota Risik Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun bagi membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, bertindak atas maklumat risikan anggota bertugas telah melakukan serbuan di rumah berkenaan untuk membuat pemeriksaan.
Katanya, ketika serbuan dijalankan, pintu rumah berkenaan berkunci sebelum seorang lelaki membuka pintu dan mengaku sebagai penyewa rumah berkenaan.
“Pemeriksaan di dalam rumah telah menemukan bungkusan daun ketum seberat kira-kira 25 kilogram dan air ketum sebanyak 24 liter.
“Kita turut merampas sebuah tong plastik, tong gas, periuk aluminium, set dapur memasak yang digunakan untuk memproses minuman berkenaan serta wang tunai RM1,800,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, hasil siasatan awal mendapati suspek mendapatkan bekalan daun ketum daripada seorang wanita dikenali sebagai ‘Mek’ sebelum memproses dan menjual air ketum di rumah sewanya.
Katanya, pelanggan akan menghubungi suspek menerusi telefon untuk membeli air ketum yang dijual pada harga RM10 sebungkus.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati lelaki itu negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada BSJN IPD Kota Bharu untuk tindakan lanjut,”ujarnya.-UTUSAN










