Kos haji kekal RM33,300, TH terus tambah nilai perkhidmatan

Kos haji kekal RM33,300, TH terus tambah nilai perkhidmatan

MUSTAKIM Mohamad (tengah) menunjukkan pek sajian makanan yang direka khas ketika meninjau operasi dapur haji 2026/1447H di Mekah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) masih mampu menambah baik perkhidmatan operasi haji tahun ini tanpa peningkatan kos walaupun berdepan ketidaktentuan harga minyak dunia pada ketika ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pihaknya berjaya mengekalkan kos menunaikan haji pada kadar RM33,300 selama tiga tahun berturut-turut di samping melaksanakan beberapa pembaharuan demi keselesaan jemaah.

“Kos haji RM33,300 berjaya dikekalkan untuk tiga tahun berturut-turut, ia bermaksud tidak berubah. Untuk tahun ini kita serap segala peningkatan kos dan tidak ‘pass on’ (pindahkan) kepada jemaah.

“Dalam kos dikekalkan itu, TH masih meneruskan untuk memberikan kualiti perkhidmatan kepada jemaah. Nilai tambah tetap ada walaupun kos tidak meningkat. Insya-Allah doakan agar TH dapat mengekalkan momentum ini tanpa melibatkan kos yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau operasi dapur haji 2026/1447H di sini semalam.

Sebelum ini, TH memperkenalkan beberapa kelainan baharu dalam operasi haji 2026/1447H termasuk menaik taraf kemudahan penginapan di khemah Mina dan Arafah seperti penggunaan katil sofa serta khemah berteknologi penebat haba serta penambahbaikan penyediaan pek makanan.

Menurut Mustakim, kemampuan TH mengekalkan kadar kos haji banyak bergantung kepada situasi semasa, khususnya konflik global yang masih berterusan.

“Buat masa ini kita cuba sedaya upaya untuk kekalkan kos haji, tetapi kita tidak boleh jamin untuk masa hadapan kerana ia bergantung kepada impak konflik terhadap keseluruhan kos,” jelasnya.

Katanya, antara komponen paling tinggi terkesan ialah kos penerbangan berikutan peningkatan penggunaan bahan api dan perubahan laluan antara Malaysia ke tanah suci.

Dalam pada itu, Mustakim berkata, penambahan 10 menu dan pengenalan pek sajian makanan baharu merupakan antara pembaharuan utama TH dalam mempertingkat kualiti penyediaan hidangan operasi haji tahun ini.

Katanya, TH memperkenalkan pek sajian makanan yang direka khas oleh bagi memastikan kualiti hidangan lebih baik setelah mengambil kira pandangan jemaah haji tahun lalu.

“Rekaan ini membolehkan kuah dikekalkan dalam kuantiti mencukupi tanpa bercampur dengan nasi, sekali gus mengatasi masalah makanan kering yang sering dibangkitkan jemaah sebelum ini.

“Antara kelainan tahun ini ialah pengenalan 10 menu baharu dan menjadikan keseluruhan 52 hidangan bagi memenuhi cita rasa jemaah Malaysia.

“Walaupun berdepan kekangan bahan mentah tidak dapat dibawa dari tanah air, kita tetap berusaha mengekalkan cita rasa Malaysia melalui penggunaan bahan yang diolah oleh chef berpengalaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN