BESUT: Lembaga Tabung Haji (TH) terus memperkasa pembangunan ummah menerusi peruntukan zakat wakalah berjumlah RM4.5 juta yang disalurkan bagi pembinaan dan taraf masjid serta surau di seluruh negara sejak 2023.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, inisiatif di bawah Program Musolla TH itu mencerminkan komitmen berterusan institusi berkenaan dalam melunaskan tanggungjawab bagi pihak pendepositnya.
Kata beliau, institusi masjid dan surau memainkan peranan yang sangat signifikan bukan sekadar tempat ibadat, malah sebagai pusat penyatuan masyarakat.
”Masjid dan surau adalah medium utama dalam memperkasa syiar Islam di sesuatu kawasan selain mengukuhkan ukhuwah sesama penduduk. Sehingga kini, sebanyak 11 buah masjid dan surau dibina melibatkan lapan buah negeri termasuk Sabah dan Sarawak menerusi program ini,” katanya pada majlis penyerahan Surau Al-Hajj di Taman Koperat Putera, di sini.
Turut menyaksikan penyerahan surau itu adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hassan dan Kadi Pejabat Daerah Besut, Ahmad Azhar Harun.
Mengenai pembinaan surau berkenaan, Mustakim berkata, projek yang menelan belanja sebanyak RM500,000 itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 550 ahli kariah dan penduduk setempat.
Ujarnya, kewujudan surau baharu itu memudahkan urusan ibadat harian memandangkan sebelum ini tiada kemudahan surau yang berdekatan di kawasan tersebut.
”Saya percaya surau ini memudahkan penduduk mengadakan majlis ilmu dan program kemasyarakatan yang dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim. Bagi 2025, TH telah memperuntukkan RM1 juta bagi pembinaan dua buah surau lagi iaitu masing-masing RM500,000 di Terengganu dan Bario, Sarawak,” katanya. – UTUSAN










