PETALING JAYA: Kurikulum latihan memandu di negara ini perlu distruktur semula agar selari dengan penggunaan pelbagai teknologi baharu dalam kenderaan moden ketika ini.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, silibus sedia ada masih menyediakan asas penting pemanduan namun penambahbaikan perlu dilakukan supaya kekal relevan dengan perubahan teknologi automotif masa kini.
Katanya, sistem latihan di sekolah memandu juga tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan konvensional semata-mata sebaliknya perlu disesuaikan dengan perkembangan semasa dan keadaan pemanduan yang semakin kompleks.
“Banyak kenderaan moden kini dilengkapi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) seperti brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong, kawalan jelajah adaptif dan pemantauan titik buta.
“Malangnya, ramai pemandu baharu tidak didedahkan secara mencukupi mengenai fungsi, batasan serta penggunaan teknologi tersebut dengan betul semasa latihan memandu.
“Oleh itu, kurikulum memandu perlu berkembang melangkaui aspek pengendalian kenderaan secara konvensional dengan memberi penekanan lebih besar terhadap kesedaran risiko, pengesanan bahaya, pemanduan defensif dan penggunaan teknologi bantuan pemanduan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Teik Hua berkata, pemandu ketika ini perlu berdepan jalan raya bandar yang semakin sesak selain berinteraksi dengan penunggang motosikal, kenderaan e-hailing, pengguna mikromobiliti dan sistem trafik automatik.
Katanya, justeru latihan memandu perlu memberi lebih penekanan terhadap kesedaran situasi, kemahiran membuat keputusan serta pengesanan bahaya berbanding hanya mengulangi laluan tertentu ketika sesi latihan.
“Pelajar perlu didedahkan dengan pelbagai situasi sebenar seperti memandu pada waktu malam, menukar lorong di lebuh raya, berhenti dalam situasi kecemasan, memandu ketika hujan lebat serta berhadapan dengan pengguna jalan raya yang lebih terdedah seperti pejalan kaki dan penunggang motosikal.
“Selain itu, aspek disiplin dan etika pemanduan juga perlu diberi perhatian lebih serius kerana isu keselamatan jalan raya bukan sahaja melibatkan kemahiran teknikal malah turut berkait dengan sikap seperti kesabaran, disiplin dan pematuhan terhadap undang-undang,” katanya.
Menurut beliau, kebanyakan pelajar ketika ini cenderung memberi tumpuan untuk lulus peperiksaan berbanding membangunkan kemahiran pemanduan bagi jangka panjang.-UTUSAN.










