NARATHIWAT (THAILAND): Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani (BRN) bersedia kembali meneruskan ‘pembebasan’ Selatan Thailand melalui perjuangan bersenjata sekiranya kerajaan Thailand benar-benar menolak untuk memberikan autonomi penuh.
Bekas pemimpin tertinggi BRN berkata, hak kemerdekaan akan kembali menjadi teras perjuangan BRN, sekiranya hasrat mendapat autonomi penuh yang dicadangkan ditolak oleh kerajaan Thailand.
Menurutnya, BRN sebelum ini sudah bersedia untuk menggugurkan tuntutan kemerdekaan dan menggantikannya dengan tuntutan autonomi penuh bagi Narathiwat, Pattani dan Yala.
“Kita (BRN) dah undur (gugurkan) tuntutan kemerdekaan dan membuat pertimbangan meminta diberikan autonomi penuh. Sekiranya Thailand benar-benar menolak tuntutan autonomi ini maka kita akan kembali kepada perjuangan asal iaitu kemerdekaan.
“Dalam perjuangan ini hanya ada dua hasil iaitu hidup sebagai manusia mulia dan syahid. Tidak ada yang ketiga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Kerajaan Thailand menolak tuntutan autonomi dan kemerdekaan bagi tiga wilayah Selatan Thai yang bergolak, sebaliknya bersedia menawarkan bentuk pentadbiran lain bagi mencapai keamanan berkekalan.
Ketua Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG), Thanut Suvarnananda berkata, tuntutan berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam proses dialog damai yang sedang berlangsung.
Katanya, sistem tadbir urus Thailand ketika ini mempunyai tiga peringkat iaitu kerajaan pusat, serantau dan tempatan.
Bekas pemimpin BRN itu turut membidas kenyataan berkenaan yang disifatkannya boleh menjadi punca keganasan serta konflik bersenjata berterusan di Selatan Thai.
“Thanut tidak sepatutnya terus membuat kenyataan terbuka mengatakan kerajaan menolak tuntutan autonomi. Perkara itu sepatutnya dibincangkan di meja perundingan. Keganasan akan terus berlaku selagi masalah tidak diselesaikan.
“Contohnya, jika kita hendak menyelesaikan masalah demam malaria, bukan hanya memberi ubat. Hari ini beri ubat, esok penyakit akan berulang. Sepatutnya, punca penyakit iaitu nyamuk perlu dihapuskan.
“Beri autonomi selesai masalah. Tiada autonomi kita kembali kepada perjuangan asal (merdeka),” katanya yang masih mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan pemimpin tertinggi BRN yang terlibat dalam Proses Dialog Damai Selatan Thai.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan telah bertemu wakil Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu bagi membincangkan beberapa isu berkaitan keselamatan di Selatan Thai dan rundingan damai.
“Mereka (wakil Anutin) nak jumpa saya… saya kata boleh. Ada beberapa isu dibincangkan yang akan saya kongsi dengan pasukan rundingan BRN.
“Mereka juga gagal berkata apa-apa selepas saya bertanya di mana salahnya jika autonomi diberikan,” katanya. – UTUSAN










