Keluarga masih sayu kehilangan Koperal Nurit

Keluarga masih sayu kehilangan Koperal Nurit

NUR Ardini Rryna dan bapanya, Pandak Rompan menunjukkan gambar mendiang Nurit Pandak ketika ditemui di Kampar, Perak, semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Genap setahun kemalangan membabitkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan pada 13 Mei 2025, ahli keluarga Koperal Nurit Pandak, 34, yang terkorban dalam kemalangan tidak pernah melupakan mendiang.

Adik perempuan kepada men­diang Nurit, Nur Ardini Rryna, 33, berkata, dia tidak pernah melupakan abangnya malah setiap hari terkenangkan abangnya.

Dia yang beragama Islam ber­kata, walaupun berlainan agama, hubungan dia dengan mendiang abangnya tetap erat.

“Sudah setahun kami sekeluarga kehilangan dia namun pe­rasaan masih sayu kerana pemergiannya yang tragis.

“Kehilangannya berat buat kami. Kami ingat dia setiap hari, sebab kami tengok gambar dia setiap hari, memang susah mahu lupakan dia. Walaupun sudah setahun namun rasanya baru sahaja berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, dia juga sering teringatkan mendiang abangnya yang kerap menziarahi rumah­nya di sini dan bertemu anak-anaknya.

Katanya, mendiang abangnya itu sangat sukakan kanak-kanak dan gembira jika bertemu anak-anaknya.

“Saya masih terkenang ba­gaimana mesranya dia melayan anak-anak saya setiap kali dia singgah di rumah kami, namun semua itu tiada lagi selepas tragedi yang menimpa dia dan rakan-rakannya setahun lalu,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada Nurit, Pandak Rompan, 71, berkata, kehilangan anaknya ma­sih dirasai sehingga hari ini dan masih bersedih atas tragedi yang berlaku.

Katanya, setiap kali teringat mendiang anaknya, dia akan rasa sedih apatah lagi hubungan mereka sekeluarga sangat rapat.

“Kehilangan orang tersayang secara tiba-tiba susah hendak terima. Kami sekeluarga masih masih terasa kehilangan mendiang.

“Dia seorang anak yang sa­ngat bertanggungjawab, baik dan sayangkan keluarga. Sudah tentu susah untuk kami melu­pakannya,” katanya.

Nurit antara sembilan anggota FRU yang maut dalam kemalangan melibatkan trak FRU dengan lori muatan batu di Chikus- Sungai Lampam di Teluk Intan pada Mei tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN