Keganasan terhadap wanita meningkat

Keganasan terhadap wanita meningkat

UNDANG-UNDANG perlu lebih tegas dan berpihak kepada perlindungan wanita yang menjadi mangsa keganasan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trend kes keganasan terhadap wanita di negara ini terus menunjukkan peningkatan yang membimbangkan de­ngan pertambahan kes setiap tahun.

Pegawai Advokasi Pertubu­han Pertolongan Wanita (WAO), Tamyra Selvarajan ber­­kata, sebanyak 30,772 kes secara ke­seluruhannya telah direkodkan bagi tempoh lima tahun ke­belaka­ngan ini sehingga tahun lalu.

Menurut beliau, jumlah kes ke­ga­nasan rumah tangga membabitkan golongan wanita juga dilaporkan me­ningkat daripada sebanyak 1,162 kes pada 2024 kepada 1,759 kes bagi tahun 2025.

“Selain kes itu, kita melihat peningkatan dalam pertikaian perhubungan, keganasan pasangan intim (IPV), gangguan berasaskan teknologi, gangguan seksual serta kes rogol dan penderaan kanak-kanak.

“Data yang diperoleh ini mendedahkan bentuk keganasan berasaskan jantina kini menjadi lebih kompleks dan bertindih, merangkumi pelbagai aspek selain penderaan fizikal.

“Trend ini juga menunjukkan mangsa atau pemandiri (survivor) kini berhadapan de­­ngan ancaman yang lebih rencam dalam persekitaran mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Tamyra, kategori isteri kekal sebagai kumpulan pemandiri (survivor) terbesar yang mendapatkan bantuan iaitu sebanyak 60 kes pada 2024 dan 59 kes pada 2025.

Mengenai keengganan mangsa untuk tampil melaporkan penderaan, beliau mendedahkan sikap masyarakat yang cenderung menyalahkan mangsa atau victim blaming menjadi tembok penghalang utama.

“Kira-kira satu pertiga daripada responden yang ditinjau WAO masih mempunyai sikap menyalahkan wanita atas keganasan yang mereka alami.

“Budaya ini menyebabkan mangsa berasa malu dan takut untuk meninggalkan hubungan tersebut, selain kebimbangan terhadap stigma masyarakat,” katanya.

WAO menggesa kerajaan untuk mengguna pakai pendekatan berpusatkan pemandiri (survivor-centric approach) dalam penggubalan dasar dan pelaksanaan undang-undang.

Katanya, kelonggaran dalam Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 1994 ketika ini tidak merangkumi perlindungan bagi pasangan yang belum berkahwin atau keganasan IPV.

“Bukan itu sahaja, undang-undang juga perlu lebih komprehensif dalam menangani keseluruhan spektrum penderaan seperti penderaan emosi, psikologi atau penderaan seksual dalam perkahwinan.

“Seksyen 375 mengenai rogol mempunyai pengecualian. Hubungan seksual oleh seorang lelaki dengan isterinya melalui perkahwinan yang sah di bawah undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa atau diiktiraf di Persekutuan sebagai sah bukanlah rogol.

“Pelaksanaan undang-undang ini juga mengukuhkan idea bahawa pemandiri (survivor) tidak pernah bersalah dan semua bentuk penderaan harus diambil serius,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN