PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan kesatuan sekerja sekiranya hendak memperkenalkan sebarang inisiatif baharu membabitkan golongan pekerja di negara ini.
Setiausaha Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) J. Solomon berkata, ia penting bagi memastikan sasaran dan matlamat inisiatif yang diperkenalkan sampai kepada golongan sasar.
Kata beliau, meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kuasa untuk membuat keputusan, namun suara dan keperluan sebenar pekerja hanya dapat disalurkan dengan berkesan melalui kesatuan.
“Sebarang reformasi melibatkan kepentingan pekerja perlu melalui proses dialog sosial bersama pihak yang diiktiraf.Namun begitu, terdapat kebimbangan bahawa kerajaan dilihat masih lemah dalam aspek pelaksanaan pendekatan tripartisme ini.
“Walaupun telah diingatkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai kepentingan dialog tiga pihak, termasuk melalui Misi Teknikal Khas baru-baru ini, masih belum kelihatan perubahan ketara dalam pelaksanaannya,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, semua agensi berkaitan diberi tempoh dua minggu untuk mengemukakan laporan pelaksanaan bagi setiap inisiatif pekerja yang diumumkan kerajaan sempena Hari Pekerja kelmarin.
Laporan itu perlu diserahkan kepada menteri terlibat sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa tiga minggu lagi.
Antara inisiatif diumumkan termasuk pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) bagi pekerja wanita yang merupakan bantuan kewangan bagi cuti tambahan sehingga 30 hari yang diambil selepas tempoh cuti bersalin 98 hari tamat.
Dalam pada itu, Solomon menasihatkan kerajaan tidak mempolitikkan isu pekerja kerana pendekatan sedemikian hanya memberi kesan jangka pendek dan tidak menyumbang kepada kemakmuran negara dalam jangka panjang.
“Banyak perkara boleh dilaksanakan oleh kerajaan, namun ia tidak seharusnya dilakukan dengan mengetepikan dialog sosial semata-mata untuk memenuhi kepentingan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya. – UTUSAN










