‘Hamzah, Pas jaga hubungan baik’

‘Hamzah, Pas jaga hubungan baik’

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Datuk Seri Hamzah masih menjaga hubungan baik dengan Pas.”

Itu jawapan ringkas bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengenai parti baharu yang bakal dilancarkan oleh Hamzah pada bulan depan.

Kelmarin, sumber terdekat dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan pengumuman parti baharu itu akan dibuat pada Konvensyen Reset sebelum sidang Dewan Rakyat 22 Jun ini.

Konvensyen Reset itu akan turut disertai pemimpin tertinggi Pas dan pemimpin daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Sumber juga memaklumkan lebih 19 Ahli Parlimen dan 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dengan kekuatan lebih 120,000 akar umbi Bersatu akan bersama dengan Hamzah dan persiapan kali ini lebih kepada mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ia selaras dengan kenyataan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang menjelaskan, agenda penyatuan ummah tidak terikat hanya kepada kerjasama politik antara Pas dengan Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota mendedahkan seramai 120 ketua bahagian Bersatu termasuk yang sudah dipecat atau digantung keahlian akan menyertai parti baharu dipimpin oleh Ahli Parlimen Larut itu.

Katanya, idea Reset adalah lebih jelas dan praktikal berbanding hala tuju Bersatu iaitu melaksanakan gagasan Konsensus Nasional Baharu bagi membina Malaysia yang lebih baik.

“Sebab itu, Reset semakin hari semakin menjadi buah mulut, ikutan dan sohor. Namun, Bersatu tiada ketiga-tiga perkara itu. Kami hanya menunggu pengumuman parti baharu yang akan dianggotai oleh para aktivis dan pendukung gerakan Reset.

“Sejumlah pendukung yang tidak pernah menjadi ahli Bersatu atau mana-mana parti tetapi mereka terpanggil juga akan bersama dalam gerakan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN