Gangguan terhadap pengamal media tidak wajar berlaku - Utusan Malaysia

Gangguan terhadap pengamal media tidak wajar berlaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memandang serius insiden kekecohan serta gangguan terhadap petugas media ketika membuat liputan sebuah konvensyen parti politik di bandar raya ini, Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, sebarang tindakan yang menghalang tugas media, menimbulkan ketegangan, mahupun menjejaskan keselamatan petugas ketika menjalankan tanggungjawab profesional tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana program.

Katanya, kerajaan negeri menghargai peranan pengamal media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang sahih, tepat dan bertanggungjawab kepada masyarakat.

“Johor sejak sekian lama dikenali sebagai sebuah negeri yang menitikberatkan nilai adab, santun, hormat-menghormati serta kematangan dalam berurusan dengan semua pihak tanpa mengira latar belakang.

“Budaya agresif, provokatif atau tindakan melampau bukanlah cerminan kepada budaya Bangsa Johor yang sentiasa mengutamakan keharmonian, kebijaksanaan dan kesopanan dalam setiap tindakan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Kelab Media Johor (KMJ) menyuarakan kekesalan berhubung insiden kekecohan dan gangguan melibatkan tindakan melampau skuad keselamatan terhadap petugas media sewaktu membuat liputan pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026, Ahad lalu.

Menurut KMJ, pihak terbabit didapati menghalang tugas pengamal media sehingga mencetuskan insiden tolak-menolak dan pertelingkahan mulut sewaktu petugas sedang menjalankan tugasan hakiki mereka.

Mengulas lanjut, Aznan menegaskan bahawa semua pihak, termasuk penganjur program, pasukan keselamatan dan pengurusan acara bertanggungjawab memastikan suasana kondusif serta profesional dapat diwujudkan, khususnya apabila melibatkan urusan media.

“Saya menghormati tindakan KMJ yang menyalurkan perkara ini melalui saluran sewajarnya dan berharap semua pihak dapat memberi kerjasama penuh bagi meredakan keadaan, sekali gus mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang pada masa hadapan.

“Semoga isu ini dapat dijadikan pengajaran agar setiap program yang berlangsung di Johor sentiasa mencerminkan nilai profesionalisme, keselamatan, adab dan semangat muafakat yang menjadi kebanggaan Bangsa Johor,” katanya.

Sementara itu, Polis Johor mengesahkan telah menerima satu laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang mendakwa dirinya diasak oleh sekumpulan individu berpakaian hitam sehingga berlaku sentuhan fizikal dalam perhimpunan tersebut.

Pemangku Ketua Polis Johor, Timbalan Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan akan memanggil beberapa orang saksi bagi membantu siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN