Trump sekali lagi dakwa Iran terdesak capai perjanjian

Trump sekali lagi dakwa Iran terdesak capai perjanjian

TRUMP mendakawa Iran boleh dimusnahkan dalam satu malam sahaja. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata negaranya mungkin akan melancarkan semula serangan terhadap Iran dan beliau hanya tinggal sejam sebelum memberi arahan untuk melaksanakan tindakan itu sebelum ia ditangguhkan.

Trump berkata demikian pada Isnin, sehari selepas memaklumkan beliau menangguhkan rancangan untuk menyambung semula permusuhan susulan cadangan baharu daripada Tehran bagi menamatkan perang antara AS dan Israel.

“Saya hanya tinggal sejam lagi sebelum membuat keputusan untuk melaksanakannya hari ini,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih semalam.

Trump turut mendakwa, pemimpin Iran kini terdesak untuk mencapai perjanjian, sambil memberi amaran AS akan melancarkan serangan baharu dalam tempoh beberapa hari jika tiada persetujuan dicapai.

AS berdepan kesukaran untuk menamatkan perang yang tercetus bersama Israel hampir tiga bulan lalu. Sebelum ini, Trump berkata perjanjian dengan Teheran hampir dimeterai, selain mengancam untuk melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran sekiranya gagal mencapai kata sepakat.

Presiden AS itu kini berdepan tekanan politik yang semakin memuncak di dalam negara untuk mencapai persetujuan yang dapat membuka semula Selat Hormuz, laluan penting bagi bekalan minyak dan komoditi global.

Harga bahan api yang kekal tinggi serta kadar sokongan terhadap Trump yang merosot menjelang pilihan raya Kongres pada November turut menambah tekanan terhadap pentadbirannya.

Harga minyak ditutup rendah pada Selasa selepas Naib Presiden AS, JD Vance berkata, Washington dan Teheran mencapai banyak kemajuan dalam rundingan, selain kedua-dua pihak tidak mahu menyaksikan kempen ketenteraan disambung semula.

“Kita berada pada kedudukan yang agak baik ketika ini,” katanya.

Bercakap kepada wartawan dalam taklimat di Rumah Putih, Vance mengakui rundingan dengan kepimpinan Iran yang berpecah-belah menimbulkan cabaran.

“Kadangkala tidak begitu jelas apakah pendirian rundingan pasukan mereka,” katanya sambil menambah bahawa AS sedang berusaha menjelaskan garis merahnya sendiri.

Beliau turut berkata, antara matlamat dasar Trump adalah untuk menghalang perlumbaan senjata nuklear daripada merebak di rantau berkenaan.

Di Teheran, ketua jawatankuasa keselamatan negara Parlimen Iran, Ebrahim Azizi berkata, keputusan Trump menangguhkan serangan dibuat selepas beliau menyedari sebarang tindakan terhadap Iran akan menerima ‘tindak balas ketenteraan yang tegas’.

Media kerajaan Iran pula melaporkan, cadangan damai terbaharu Teheran melibatkan penamatan permusuhan di semua medan termasuk di Lubnan, pengunduran tentera AS dari kawasan berhampiran Iran serta pampasan terhadap kemusnahan akibat serangan AS-Israel.

Menurut Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi seperti dipetik agensi berita IRNA, Teheran turut menuntut sekatan ekonomi ditarik balik, pembebasan dana yang dibekukan dan penamatan sekatan laut oleh AS.

Bagaimanapun, syarat yang digariskan dalam laporan Iran itu dilihat tidak banyak berubah daripada tawaran terdahulu Teheran yang ditolak Trump minggu lalu dan disifatkannya sebagai ‘sampah’.- NYTimes

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN