KOTA BHARU: Polis mendapat lanjutan tempoh tahanan reman tujuh hari lagi terhadap dua suspek kes pembunuhan kejam seorang gadis yang ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh pada Jumaat lalu.
Sambungan tempoh tahanan reman itu sehingga 14 Mei itu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.
Reman itu bertujuan melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Kota Bharu pada pukul 8.50 pagi untuk mendapatkan perintah sambung reman hari ini.
Kedua-dua suspek yang memakai baju lokap berwarna oren sambil diiringi anggota polis kenderaan pasukan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, tempoh reman terhadap dua suspek kes pembunuhan kejam seorang gadis yang ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh dekat sini dijangka disambung selepas tamat esok.
Terdahulu, kedua-dua lelaki berusia 19 tahun direman selama tujuh hari bermula 2 Mei lalu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan sebelum pendakwaan dilakukan.
Sebelum itu, polis menemukan 61 kesan tikaman pada badan gadis yang dipercayai mati dibunuh sebelum mayatnya dibuang di Kampung Simah.
Maklumat tersebut hasil pemeriksaan awal dilakukan oleh pasukan forensik bermula dari bahagian muka sehingga kaki.-UTUSAN










