Putrajaya sasar jadi hab rekreasi keluarga

Putrajaya sasar jadi hab rekreasi keluarga

HANNAH Yeoh (tengah) bersama Datuk Mohd. Sakeri Abdul Kadir (dua dari kiri) ketika merasmikan Tapak Perkhemahan Taman Wetland Putrajaya, di sini, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Putrajaya menyasarkan menjadi hab rekreasi keluarga menerusi pelbagai aktiviti luar pada harga rahmah bagi menggalakkan warga kota meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi penaiktarafan tapak perkhemahan di Taman Wetland Putrajaya yang kini tampil dengan kemudahan lebih selesa dan mesra keluarga.

Menurut Hannah, peningkatan jumlah pengunjung ke Putrajaya menunjukkan aktiviti rekreasi semakin mendapat sambutan khususnya dalam kalangan penduduk bandar.

“Sehingga Mac tahun ini, Putrajaya merekodkan kehadiran enam juta pengunjung dan pelancong berbanding 4.4 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

“Ini menunjukkan aktiviti rekreasi semakin popular dalam kalangan warga bandar dan sebab itu kita mahu Putrajaya menjadi hub rekreasi untuk keluarga,” katanya selepas merasmikan Tapak Perkhemahan Taman Wetland Presint 13, Putrajaya, di sini, hari ini.

Katanya, tapak perkhemahan itu dibangunkan di kawasan seluas 5,000 meter persegi dengan 48 ruang khemah yang mampu menampung antara 120 hingga 200 pengunjung pada satu-satu masa.

Beliau berkata, kadar sewa yang ditawarkan juga pada harga rahmah iaitu serendah RM30 pada hari bekerja dan RM50 pada hujung minggu bagi tempoh dua hari satu malam.

“Mereka juga menawarkan inisiatif ‘diskaun hari bekerja’ kepada pengunjung yang ingin menikmati suasana perkhemahan lebih tenang dan kurang sesak berbanding hujung minggu,” katanya.

Tambahnya, pengunjung turut boleh menyewa pelbagai kelengkapan lain termasuk kerusi, katil dan lampu selain menikmati kemudahan seperti tandas, bilik mandi, surau, bekalan elektrik, kawasan parkir, dewan makan dan ruang terbuka.

Dalam masa sama, Hannah berkata, pelbagai aktiviti rekreasi turut disediakan antaranya ATV, flying fox, wall climbing, abseiling, jungle trekking dan dual zip line sepanjang 420 meter yang diiktiraf sebagai ‘Longest Parallel Double Zip Line’ oleh Malaysia Book of Records.

“Kita mahu galakkan keluarga luangkan lebih banyak masa outdoor kerana kanak-kanak sekarang banyak bermain gajet. Jadi kita mahu mereka keluar dan lakukan aktiviti bersama keluarga dalam suasana yang selamat dan mampu milik,” katanya.

Sementara itu, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Mohd. Sakeri Abdul Kadir berkata, jumlah pengunjung ke Taman Wetland Putrajaya menunjukkan peningkatan konsisten sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Katanya, jumlah itu meningkat daripada 444,000 pengunjung pada 2022 kepada 487,000 pengunjung tahun lalu dan dijangka terus bertambah tahun ini.

“Berdasarkan maklumat suku pertama tahun ini, kita memang nampak peningkatan yang sangat ketara dan kita sasarkan jumlah itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×