KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zarul Umbrella berkata pengunduran CK Faizal daripada poscast kendaliannya, Borak Dalam Galley (BDG) adalah keputusan peribadi, bukan kerana berlaku perselisihan faham antara mereka.
Zarul atau Zairulkefli Husin, 53, bagaimanapun menghormati keputusan CK dan beranggapan pengacara itu mahu mencuba laluan lain dalam kerjayanya.
“Sebenarnya sebelum itu kami ada penggambaran raya bersama. Selepas itu, tiba-tiba dia beri notis 24 jam untuk mengundurkan diri, jadi saya pun terkejut.
“Tetapi bila fikir semula, mungkin dia rasa sudah terlalu lama memberi fokus kepada podcast sahaja dan mahu mencuba perkara lain.
Namun, sebab sebenar saya pun tidak tahu kerana hanya CK yang boleh jawab. Saya hormat keputusan dia dan teruskan sahaja dengan apa yang ada sekarang,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Seribu Rahmat Umbrella di sini, pada khamis.
Bukan itu sahaja, Zarul menegaskan hubungannya dan CK masih dalam keadaan baik bahkan mereka masih boleh bergurau seperti biasa selepas bertemu.
“Saya tiada masalah dengan dia. Dua hari lalu kami ada berjumpa dan masih bergurau serta ketawa seperti biasa.
“Kami tidak bergaduh dan tiada sebarang isu. Sampai hari ini saya masih sayangkan dia kerana BDG juga mula dikenali disebabkan dirinya.
“Jadi, saya tidak boleh lupa perkara itu kerana dia antara individu yang banyak membantu memperkenalkan BDG kepada orang ramai,” katanya.
Terdahulu, CK atau Che Kamarul Faizal Che Kamaruddin mengumumkan pengundurannya daripada BDG selepas tiga tahun berkhidmat sebagai pengacara menerusi hantaran video di Instagram.
Dalam perkembangan lain, Zarul akan tampil dalam Konsert Seribu Rahmat Umbrella yang dijadual berlangsung pada 6 Jun depan di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia.
Konsert berkenaan bukan sekadar persembahan nostalgia, malah menggabungkan elemen muzik klasik era 1990-an bersama teknologi moden.
Dianjurkan oleh Pertubuhan Bahtera Prihatin Rakyat Perlis, konsert itu bakal menampilkan kumpulan Umbrella sebagai teraju utama bersama penampilan khas Zamani Slam dan Floor 88. -UTUSAN










