KOTA BHARU: Polis Kelantan membuka kertas siasatan susulan penularan spekulasi dan maklumat tidak sahih berkait kes seorang remaja ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, penyebaran maklumat palsu atau mengelirukan boleh menimbulkan kegusaran awam selain dibimbangi mengganggu siasatan.
“Kami memandang serius penyebaran hantaran yang mengandungi fakta tidak tepat sehingga boleh mengelirukan orang ramai.
“Antara kandungan yang dikesan termasuk spekulasi berkaitan latar belakang suspek, penggunaan gambar rasmi saya (Ketua Polis Kelantan) bagi menarik perhatian awam, selain tajuk sensasi yang tidak tepat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya turut mengesan tindakan mengeksploitasi kenyataan rasmi polis dengan cara dimanipulasi atau ditokok tambah, serta penggunaan logo rasmi Polis Diraja Malaysia tanpa kebenaran.
Katanya, tindakan itu menimbulkan persepsi seolah-olah ia kenyataan rasmi.
Mohd. Yusoff menyeru orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dengan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya.
“Orang ramai juga diminta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, polis dilapor menemukan 61 kesan tikaman pada badan seorang wanita yang dipercayai mati dibunuh sebelum mayatnya dibuang di Kampung Simah, Ketereh, semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat tersebut hasil pemeriksaan awal yang dilakukan oleh pasukan forensik ke atas badan wanita berkenaan bermula dari bahagian muka sehingga kaki.
Katanya, kebanyakan kecederaan itu tertumpu pada bahagian kanan badan.-UTUSAN










