14 ADUN BN kekal hilang kepercayaan terhadap Aminuddin

14 ADUN BN kekal hilang kepercayaan terhadap Aminuddin

Bibi Sharliza Mohd. Khalid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan UMNO Negeri Sembilan yang hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Menteri Besar,  Datuk Seri Aminuddin Harun adalah tidak berubah.

Ketua Wanita UMNO negeri, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid berkata, pendirian beliau yang juga ADUN Juasseh bersama 13 ADUN yang lain dalam isu itu adalah kekal dan jelas.

Menurutnya, pendirian kesemua ADUN berkenaan bukan bertujuan merebut kuasa sebaliknya berlandaskan prinsip dan keperluan memelihara keabsahan pentadbiran negeri.

Katanya, isu yang dibangkitkan bukan berkaitan ‘tebuk atap’ atau percaturan politik, tetapi menyentuh soal keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin serta pematuhan kepada adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan.

“Apabila keyakinan terhadap Menteri Besar (Aminuddin) terhakis, penyelesaiannya bukan melalui tuduhan politik atau spekulasi yang boleh mengelirukan rakyat.

“Kita mahukan penyelesaian yang berlandaskan tertib pentadbiran dan saluran yang betul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bibi Sharliza berkata, UMNO tidak pernah mencari jalan belakang dalam menangani isu berkenaan, sebaliknya konsisten menuntut pendekatan yang telus dan berlandaskan undang-undang.

Katanya, UMNO terus komited menjunjung institusi Raja, menghormati adat Negeri Sembilan serta mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Beliau menambah, kestabilan negeri tidak seharusnya dijadikan alasan bagi menutup kelemahan kepimpinan atau mengelak daripada pertanggungjawaban.

“Nama baik UMNO tidak tercalar apabila UMNO bersuara atas prinsip. Nama baik UMNO hanya tercalar jika UMNO berdiam diri apabila adat, Perlembagaan Negeri dan tata kelola pentadbiran dipersoalkan.

“Sehubungan itu, saya menegaskan pendirian kami, junjung adat, pertahankan Perlembagaan negeri,” ujarnya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×