PETALING JAYA: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diingatkan supaya mengelakkan sebarang unsur penganiayaan ketika menjalankan tugas dan sentiasa memperbaiki kelemahan sekiranya berlaku kesilapan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman menegaskan, setiap pegawai perlu menjalankan amanah dengan sebaik mungkin demi menjaga kredibiliti suruhanjaya itu.
“Mengenai aspek penguatkuasaan, siasatan dan pendakwaan perlu bergerak seiring bagi memastikan perjalanan kes yang dibawa ke mahkamah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan berkesan.
“Antara pembaharuan yang akan diperkenalkan adalah memperkukuh penyelarasan antara bahagian siasatan dan pendakwaan SPRM bagi memudahkan urusan pegawai terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pengarah-pengarah Kanan dan Pengarah-pengarah Bahagian SPRM di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya semalam.
Katanya, dalam menghadapi kekangan pegawai siasatan, beliau turut menyarankan agar pengisian dalaman diperkasakan selain menekankan kepentingan pendidikan masyarakat berkaitan pencegahan rasuah diteruskan tanpa henti.
“Usaha membanteras jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam negara adalah amanah yang digalas bukan sahaja perlu dilaksanakan dengan penuh integriti malah menjadi satu ikrar yang wajib dikotakan oleh setiap warga SPRM.
“Cabaran, kekangan dan rintangan dalam melaksanakan tugas sememangnya tidak dapat dielakkan namun ia perlu ditangani dengan kebijaksanaan serta berpandukan akta dan arahan ditetapkan,” jelasnya.
Terdahulu. Abd Halim tiba di Lobi C, Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 8.20 pagi disambut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman.
Beliau kemudian mengimbas kad pas dan meletakkan tapak tangan pada tablet sebagai simbolik pada Majlis Sambutan dan Mula Tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bermula semalam. – UTUSAN










