KUANTAN: Malaysia memiliki dua sumber utama unsur nadir bumi (REE) iaitu monazit dan lempung jerapan ion (IAC) yang boleh diiktiraf sebagai aset strategik negara dengan nilai dianggarkan melebihi RM800 bilion.
Monazit, mineral fosfat kaya dengan unsur nadir bumi ringan (LREE) seperti neodimium dan praseodimium, terbukti penting dalam pembuatan magnet berprestasi tinggi untuk motor elektrik, turbin angin dan kenderaan elektrik.
Unsur lanthanum dan cerium pula menyokong industri kaca optik, kanta kamera serta skrin elektronik, selain berperanan sebagai katalis petroleum. Kandungan torium dalam monazit pula membuka ruang kepada pembangunan bahan api nuklear alternatif.
Sementara itu, IAC yang terbentuk daripada luluhawa granit tropika membekalkan unsur nadir bumi sederhana hingga berat (MREE-HREE) seperti dysprosium, terbium dan yttrium.
Unsur-unsur tersebut kritikal dalam meningkatkan kestabilan magnet suhu tinggi, teknologi laser perubatan dan industri, paparan LED, serta sistem radar dan sonar pertahanan. Malah, ia turut menyokong pembangunan bateri dan teknologi tenaga boleh diperbaharui.
Ketua Program Sains Nuklear, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Aznan Fazli Ismail berkata, kemandirian teknologi, tadbir urus yang kukuh dan pendekatan berasaskan sains akan menentukan sama ada potensi besar tersebut dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk negara dan generasi akan datang.
“Sekiranya Malaysia tidak mempunyai keupayaan untuk memproses dan mengasingkan REE secara berdaulat dan bertanggungjawab, maka eksploitasi sumber ini bukan sahaja gagal memberikan nilai tambah, malah berisiko menjadi kerugian strategik.
“Dalam keadaan sedemikian, adalah lebih wajar sekiranya dua sumber nadir bumi itu kekal di dalam bumi sehingga keupayaan nasional benar-benar bersedia untuk menguruskannya secara selamat, mampan dan berdaulat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Dr. Aznan berkata, dalam membincangkan potensi monazit dan IAC, satu hakikat penting perlu ditegaskan: sebelum Malaysia memberi tumpuan besar kepada industri hiliran seperti penghasilan magnet nadir bumi berprestasi tinggi dan komponen teknologi strategik, negara perlu terlebih dahulu menguasai keupayaan asas yang kritikal, iaitu pengekstrakan, pengasingan dan penulenan unsur nadir bumi.
Beliau berkata, nilai ekonomi sebenar REE tidak terletak pada perlombongan semata-mata, tetapi pada peringkat pemisahan unsur individu dan penulenan bahan berkualiti tinggi.
“Tanpa penguasaan pada peringkat ini, industri hiliran berisiko bergantung sepenuhnya kepada input luar negara, sekali gus menjejaskan kelestarian dan daya saing industri tempatan. Malaysia perlu bergerak ke arah kemandirian teknologi dengan membangunkan keupayaan tempatan dalam pengekstrakan, pemisahan dan penulenan REE daripada monazit dan IAC.
“Kebergantungan kepada kemudahan luar negara sama ada dengan membawa bahan mentah keluar untuk diproses atau membenarkan pihak asing mengawal sepenuhnya operasi tempatan bukan sahaja mengurangkan pulangan ekonomi negara, malah mendedahkan Malaysia kepada risiko geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global.
“Dalam konteks ini, langkah kerajaan Malaysia menghentikan eksport unsur nadir bumi mentah merupakan satu keputusan strategik yang amat tepat, kerana ia menghalang kehilangan nilai tambah di peringkat huluan serta memaksa pembangunan keupayaan pemprosesan dan pengasingan REE secara tempatan,” katanya.
Menurutnya, sebagai perbandingan, Malaysia sudah pun mempunyai pengalaman operasi dalam pemprosesan unsur nadir bumi, sama ada melalui pengendalian pekatan lantanida yang diimport mahupun melalui aktiviti pengekstrakan daripada IAC di dalam negara.
Namun, katanya, dalam kedua-dua keadaan ini, operasi tersebut dikendalikan oleh entiti milik asing, dengan penguasaan teknologi teras, kaedah proses dan hak pemilikan kekal di bawah kawalan pihak luar, walaupun sebahagian besar tenaga kerja terdiri daripada pekerja tempatan. – UTUSAN










