BE 2026 jadi penanda aras baharu ekonomi negara

BE 2026 jadi penanda aras baharu ekonomi negara

MOHD. Uzir Mahidin (tiga kanan) beramah mesra dengan pemenang hadiah selepas Program Berlari, Bernafas, Menghayati Alam di Jeli, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Pelaksanaan Banci Ekonomi (BE) 2026 yang kini memasuki fasa kedua bakal menjadi penanda aras baharu dalam menilai semula struktur ekonomi negara termasuk tahun asas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), indeks perindustrian dan indeks jualan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, data yang diperoleh akan menjadi asas utama kepada kerajaan dalam merangka dasar ekonomi serta menilai pencapaian sasaran negara di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Katanya, banci tersebut melibatkan kira-kira 1.35 juta pertubuhan perniagaan di seluruh negara merangkumi lima sektor utama iaitu pertanian, pembuatan, pembinaan, perkhidmatan dan lain-lain aktiviti ekonomi.

“BE 2026 akhirnya akan menjadi angka asas utama rujukan untuk kita menilai semula tahun asas KDNK, indeks perindustrian, indeks jualan dan sebagainya.

“Data ini penting bagi melihat kedudukan ekonomi negara termasuk sasaran Malaysia untuk berada dalam kelompok 30 ekonomi terbesar dunia,” katanya kepada pemberita di sini selepas Program Berlari, Bernafas, Menghayati Alam yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil di Padang Istiadat, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir memberitahu, setakat ini lebih 500,000 pertubuhan telah berjaya diliputi menerusi fasa pertama yang memberi fokus kepada aktiviti ekonomi informal dan perusahaan kecil.

Katanya, fasa pertama meliputi tumpuan kepada aktiviti kecil seperti inap desa, penjaja dan perusahaan mikro.

“Sekarang kita bergerak kepada industri dan syarikat berskala sederhana serta besar. Di Kelantan sahaja terdapat kira-kira 60,000 pertubuhan perniagaan yang terlibat dalam banci berkenaan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN