MEKAH: Hampir dua juta umat Islam dari seluruh dunia mula bergerak ke Arafah hari ini bagi menunaikan wukuf iaitu rukun terpenting dalam ibadah haji di sebalik dunia masih berdepan pelbagai konflik dan ketidaktentuan geopolitik.
Dalam lautan manusia berpakaian ihram serba putih, jutaan jemaah berhimpun dalam suasana aman dan teratur melambangkan penyatuan umat Islam tanpa mengira bangsa, darjat dan negara.
Jemaah haji akan berada di padang Arafah seluas kira-kira 13 kilometer persegi itu sehingga selesai masuk hari wukuf esok sebelum bergerak untuk bermalam di Muzdalifah dan Mina bagi melaksanakan ibadah melontar jamrah bermula 10 hingga 13 Zulhijjah.
Bagi memastikan kelancaran pergerakan jutaan jemaah, pihak berkuasa Arab Saudi menggerakkan operasi logistik berskala besar dan sistem pintar bagi mengawal aliran manusia di kawasan Masyair.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan, lebih 50,000 petugas perubatan dan 3,000 ambulans disediakan sepanjang musim haji bagi membantu jemaah yang memerlukan rawatan segera ekoran ramalan cuaca dijangka mencecah 47 darjah celsius.
Pelbagai persiapan turut dilakukan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) khususnya melibatkan jemaah Malaysia bagi memastikan mereka dapat melalui operasi Masyair dalam keadaan selesa, selamat dan teratur.
Tumpuan bukan sahaja diberikan kepada aspek ibadah, malah kesiapsiagaan kesihatan serta penambahbaikan kemudahan khemah turut menjadi keutamaan sepanjang berada di Arafah dan Mina.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, operasi Masyair 1447H menampilkan kelainan baharu buat jemaah Malaysia apabila taraf kemudahan penginapan kini ditambahbaik demi keselesaan jemaah.
Katanya, ia termasuk penggunaan katil sofa dan khemah berpenebat haba untuk menghadapi cuaca lebih 40 darjah Celsius di Tanah Suci serta penambahan kapasiti tandas lebih lima kali ganda.
“Malah setiap jemaah akan mempunyai tempat sendiri. Kami juga akan meletakkan tag nama dan gambar bagi memudahkan mereka mengenal pasti tempat masing-masing. Maknanya, setiap orang pasti ada ruang sendiri dan tidak perlu berebut tempat.
“Selain itu, ruang penyimpanan khas disediakan bagi membolehkan jemaah menyimpan beg, barangan peribadi dan kelengkapan mandian tanpa perlu meletakkannya di lantai sehingga mengganggu ruang pergerakan seperti sebelum ini,” katanya ditemui baru-baru ini.
Katanya, kemudahan baharu itu dilihat sebagai antara pembaharuan dalam usaha meningkatkan keselesaan jemaah di Arafah dan Mina di samping mahu memastikan mereka dapat memfokuskan ibadah dan mencapai haji mabrur.

Daripada segi kesihatan pula, Ketua Pakar Perubatan Haji, Dr. Muhammad Taufiq Rosli berkata, pasukan perubatan TH kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dengan klinik di Arafah dan Mina beroperasi sepanjang masa.
Menurut beliau, tumpuan kini diberikan kepada penyelarasan menyeluruh melibatkan semua sektor perubatan termasuk farmasi, pasukan kecemasan, doktor dan paramedik.
Dalam usaha mempercepatkan rawatan, Dr. Muhammad Taufiq berkata, pendekatan klinik pakar bergerak turut diperkenalkan apabila pakar turun sendiri ke maktab untuk bertemu jemaah bagi memudahkan proses mengenal pasti jemaah berisiko tinggi, sekali gus membolehkan pemantauan lebih rapi dilakukan sepanjang operasi Masyair.
“Pendekatan itu membolehkan pesakit mendapatkan rawatan secara terus tanpa perlu melalui proses rujukan berperingkat, selain membantu pengesanan awal pesakit berisiko tinggi.
“Kalau sebelum ini pesakit datang kepada kita, sekarang kita yang pergi kepada mereka. Ini membantu kita kenal pasti dan rawat lebih awal,” katanya.
Mengulas kepentingan wukuf, Ketua Pakar Rujuk Haji, Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, wukuf berbeza dengan ibadah lain seperti solat yang boleh dilakukan di mana-mana masjid, sebaliknya jemaah haji pelbagai negara wajib berhimpun di satu tempat dan waktu yang sama di Arafah.
Beliau berkata, berbeza dengan tawaf dan saie yang mempunyai beberapa bentuk pelaksanaan mengikut jenis haji, wukuf tidak mempunyai perbezaan kerana semua jemaah wajib berada di lokasi itu dalam waktu yang ditetapkan.
Katanya, justeru itu Nabi Muhammad SAW menyebut haji itu adalah Arafah di mana wukuf merupakan kemuncak paling besar dalam ibadah haji.
“Jika dilihat suasana di Arafah, ia menjadi lambang kesaksamaan dalam Islam. Tiada perbezaan darjat atau kasta, semuanya hadir dengan satu tujuan iaitu kerana Allah serta mematuhi larangan ihram yang sama.
“Malah Rasulullah SAW pernah menggambarkan jemaah di Arafah dalam keadaan berdebu dan kusut menunjukkan mereka meninggalkan kemewahan dunia dan hadir dengan penuh kepatuhan, keikhlasan serta pengharapan terhadap keampunan Allah,” katanya.
Beliau berkata, waktu wukuf bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah dan sepanjang tempoh itu jemaah disunatkan memperbanyakkan zikir, talbiah serta doa. – UTUSAN










