Agrobank perkukuh ekosistem penjaja menerusi Agro Penjaja-i

Agrobank perkukuh ekosistem penjaja menerusi Agro Penjaja-i

MOHAMAD Sabu (tengah) ketika gimik merasmikan pelancaran AGRO Penjaja-i di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, kelmarin. Turut sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (dua kiri). – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agrobank menawarkan inisiatif komprehensif khusus bagi memperkasa komuniti penjaja dan usahawan mikro di seluruh negara menerusi produk terbaharunya, Agro Penjaja-i.

Agro Penjaja-i bukan sahaja menyediakan akses pembiayaan inklusif, latihan keusahawanan dan literasi kewangan sebaliknya turut menawarkan kemudahan digital bagi memperkukuh daya tahan
ekonomi komuniti berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agro Penjaja-i direka selari dengan usaha kerajaan memperkasa sektor penjaja yang kini menjadi antara penyumbang penting rantaian bekalan makanan negara.

Beliau berkata, pihaknya percaya produk itu mampu membimbing komuniti berkenaan supaya lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa.

“Kita mahu membantu penjaja bukan sahaja dari segi modal, tetapi juga memastikan mereka mempunyai ilmu pengurusan dan strategi pemasaran yang lebih baik.

“Pelaksanaan Agro Penjaja-i dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti penjaja tempatan khususnya dalam mempercepatkan transformasi perniagaan ke arah sistem kewangan digital yang lebih moden dan mampan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Agro Penjaja-i, Selasa lalu.

Majlis Pelancaran Agro Penjaja-i disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Katanya, pengenalan Agro Penjaja-i turut menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkasa perusahaan mikro yang lebih berstruktur, mampan dan berdaya tahan.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, ketika ini, seramai 700,000 penjaja dan usahawan mikro direkodkan di seluruh negara berdasarkan data dikongsi gabungan penjaja dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami menyasarkan produk ini dapat menarik minat lebih 700,000 komuniti berkenaan,” katanya.

Agro Penjaja-i menawarkan pelbagai manfaat termasuk skim pembiayaan mikro sehingga RM100,000 serta kemudahan kredit Cashline-i sehingga RM5,000.

Selain itu, program tersebut turut menawarkan pembiayaan Ar-Rahnu sehingga RM300,000 dengan kadar keuntungan istimewa serendah RM0.50 sebulan berserta laluan khas atau ‘Green Lane’.

Peserta juga berpeluang mengikuti latihan percuma secara dalam talian dan fizikal menerusi program celik kewangan dan celik usahawan selain menerima latihan bimbingan serta pemantauan selama tiga bulan.

Dalam masa sama, Agro Penjaja-i turut menyediakan khidmat nasihat dan pembiayaan bagi pensijilan halal mengikut garis panduan syariah serta pakej DuitNow QR SoundBox pada harga serendah RM114.

Lebih menarik, Agrobank turut menawarkan hibah ataupun keuntungan kepada simpanan dalam akaun Agro Penjaja-i serta dilindungi oleh takaful serendah RM10 setahun.

Antara syarat utama untuk menyertai program itu ialah penjaja perlu berdaftar dengan PBT atau gabungan penjaja yang diiktiraf.

Penjaja yang telah menerima bantuan daripada agensi lain seperti TEKUN Nasional juga masih berpeluang memohon kemudahan di bawah Agro Penjaja-i tertakluk kepada kemampuan bayaran dan keperluan perniagaan masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN