4.2 juta berisiko hilang kerja, negara perlu percepat industri digital

4.2 juta berisiko hilang kerja, negara perlu percepat industri digital

PERKEMBANGAN kecerdasan buatan (AI) mengubah landskap pekerjaan dengan lebih banyak peluang pekerjaan dikuasai automasi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri digital perlu diterokai secara lebih meluas dan agresif susulan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) yang bukan sahaja mengubah landskap pekerjaan global malah membuka peluang kerjaya baharu berkemahiran tinggi kepada tenaga kerja negara.

Perubahan teknologi yang berlaku ketika ini dilihat tidak lagi boleh dielakkan apabila laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) menganggarkan kira-kira 92 juta pekerjaan di seluruh dunia bakal terjejas menjelang tahun 2030 akibat AI dan automasi.

Di Malaysia, sekitar 4.2 juta pekerja atau 28 peratus daripada tenaga kerja negara dikenal pasti berada dalam kategori berisiko tinggi terdedah kepada teknologi AI, manakala 2.5 juta lagi berada dalam kategori risiko sederhana tinggi.

Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, situasi itu perlu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa negara perlu mempercepatkan pembangunan industri digital dan memperkukuh kemahiran tenaga kerja agar tidak terus bergantung kepada pekerjaan tradisional yang semakin mengecil akibat automasi.

Menurutnya, transformasi digital kini menjadi keperluan utama kerana banyak tugasan rutin dan pekerjaan yang bersifat manual mula digantikan dengan AI dan sistem automasi yang lebih cekap serta pantas.

“AI bukan sekadar ancaman kepada pekerjaan lama, tetapi turut membuka ruang pekerjaan baharu dalam bidang teknologi dan digital. Sebab itu industri digital perlu diterokai lebih meluas supaya tenaga kerja tempatan tidak ketinggalan.

“Malah, sektor teknologi dan digital antara bidang yang masih mencatat permintaan tinggi walaupun ekonomi global berdepan ketidaktentuan.

“Antara bidang yang semakin mendapat perhatian ialah analisis data, AI, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembangunan perisian dan automasi susulan transformasi digital yang terus berkembang di seluruh dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Selain itu, tambahnya, sektor ekonomi hijau, logistik dan e-dagang turut berkembang pesat seiring peningkatan perdagangan dalam talian dan agenda global ke arah karbon sifar.

Menurutnya, pekerja yang kehilangan pekerjaan disaran menjalani latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran bagi memastikan mereka mampu memenuhi kehendak industri baharu.

Jelas beliau, ramai hilang pekerjaan bukan kerana gagal, sebaliknya disebabkan kemahiran dimiliki tidak lagi relevan dengan permintaan semasa industri.

“Antara kemahiran yang kini menjadi keutamaan majikan ialah kemahiran digital seperti analisis data, penggunaan AI, keselamatan siber dan pengkomputeran awan selain kemahiran insaniah seperti pemikiran kritikal, komunikasi dan kebolehsuaian.

“Majikan juga dilihat semakin cenderung mendapatkan pekerja yang mempunyai kemahiran hibrid atau individu yang memiliki satu kepakaran utama tetapi memahami bidang lain.

“Bagi menghadapi perubahan itu, kerajaan disarankan mempercepat program reskilling nasional secara lebih bersasar melalui kerjasama dengan industri selain memperluas pelaburan dalam sektor masa depan seperti AI, semikonduktor, ekonomi digital dan ekonomi hijau,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga dicadang menyediakan lebih banyak insentif kepada syarikat yang melatih pekerja serta memperkukuh sistem jaringan keselamatan sosial.

“Malaysia sebelum ini telah memperkenalkan beberapa inisiatif seperti Pelan Induk Ekonomi Digital (MyDIGITAL) dan Dasar AI Nasional sebagai persediaan menghadapi perubahan struktur pasaran buruh akibat perkembangan teknologi,” katanya.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebelum ini dilaporkan berkata, seramai 7,057 pekerja hilang pekerjaan pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 kes bulan sebelumnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN