SHAH ALAM: Kes vandalisme terhadap fasiliti telekomunikasi terutama melibatkan kecurian kabel di seluruh negeri ini sejak 2024 hingga April lalu dilaporkan sebanyak 3,365 kes.
Pada tahun lalu, Klang Selatan merekodkan sebanyak 141 kes kecurian kabel yang tertinggi diikuti dengan Kajang dan Petaling Jaya dengan 98 kes sementara kawasan kepolisan (Ibu pejabat Polis Daerah) paling rendah adalah di Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mencatatkan 11 dan 10 kes.
Sementara tahun ini, sehingga April lalu pula, Sungai Buloh merekodkan jumlah tertinggi iaitu 40 kes diikuti dengan Ampang Jaya dan Petaling Jaya apabila masing-masing mencatatkan 33 kes.
Malah, beberapa kawasan di Selangor turut dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi yang mengalami insiden berulang, termasuk di kawasan seperti Rawang, Gombak dan Bangi.
Penasihat Kanan Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zulkarnain Mohd. Yasin berkata, akibat kes vandalisme itu, negara kerugian RM20 juta setahun bagi kerja pembaikan dan pemulihan infrastruktur yang rosak.
“Lebih membimbangkan, angka tersebut masih belum mengambil kira kesan terhadap aktiviti ekonomi serta kehidupan masyarakat yang semakin bergantung kepada kestabilan komunikasi digital.
“Dalam keadaan tertentu, peralatan tersebut perlu ditempah dari luar negara dan proses penghantaran serta pemasangan semula memerlukan tempoh masa tambahan sebelum perkhidmatan dapat dipulihkan sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Selangor 2026 yang dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Tambahnya, bagaimanapun Jawatankuasa Khas Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi ditubuhkan di Selangor yang akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan industri.
“Jawatankuasa ini diharap dapat menjadi platform yang lebih tersusun bagi memperkukuh perkongsian maklumat, tindakan penguatkuasaan dan langkah pencegahan secara bersepadu, khususnya di kawasan berisiko tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, Amirudin memberitahu, jumlah kes tinggi pernah direkodkan pada tahun-tahun sebelum ini, namun ia dilihat berkurangan pada suku pertama 2026 disebabkan oleh langkah-langkah dibuat oleh pihak industri.
“Kita akan terus memastikan penglibatan awam, pihak industri, pihak berkuasa untuk bersama-sama supaya kegiatan mencuri kabel atau vandalisme dapat dicegah.
“Ini kerana, kemudahan digital amat penting dalam kehidupan di negara kita. Capaian internet bukan lagi sesuatu yang mewah, tetapi diperlukan oleh semua orang,” jelasnya. – UTUSAN










