KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan semua jawatan berkaitan kerajaan.
Dalam kenyataan dikeluarkan parti terbabit, peletakan jawatan itu dinyatakan semasa pertemuan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merangkap Pengerusi GRS, semalam.
“Keputusan Presiden USNO itu juga disahut secara sebulat suara pada 22 April dalam Mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) USNO untuk keluar daripada gabungan GRS.
“Antara justifikasi awal tentang keputusan USNO ini adalah disebabkan sudah tidak wujudnya keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17
“USNO juga mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik yang berteraskan perjuangan pribumi tempatan Sabah dan akan komited dalam proses semak dan imbang.
“USNO juga mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi GRS serta semua rakan komponen GRS atas kebersamaan sebelum ini. USNO berjanji akan terus memperjuangkan aspirasi rakyat yang termarginalisasi,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, GRS kini dianggotai sebanyak lima parti komponen membabitkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Pada Oktober tahun lepas, keanggotaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) dalam GRS tamat selepas kedua-duanya menyatakan keputusan untuk bertanding solo pada PRN Sabah Ke-17.-UTUSAN.










