Segera atasi kerosakan SK Balaban Jaya – PM

Segera atasi kerosakan SK Balaban Jaya – PM

KEADAAN murid SK Balaban Jaya, Beluran, Sabah yang terpaksa mengikuti sesi PdP di bawah khemah berpunca daripada kerosakan sebahagian infrastruktur akibat pergerakan tanah dan cerun. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Unit Penyelarasan Pelaksa­naan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk mengambil tindakan segera berhubung isu kerosakan infrastruktur di Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran, Sabah.

Perdana Menteri berkata, perkara tersebut memerlukan penyelesaian segera demi memastikan kebajikan serta keselesaan murid sentiasa terpelihara.

“Perkara sebegini cukup mengesankan. Arahan telah diberikan kepada KPM dan ICU untuk penyelesaian segera.

“Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama, dan tindakan segera wajib dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya semalam.

Beliau mengulas laporan media mengenai isu murid-murid SK Balaban Jaya yang terpaksa mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di khemah dan koridor masjid berpunca daripada kerosakan sebahagian infrastruktur akibat pergerakan tanah dan cerun.

Sementara itu, KPM menerusi kenyataan memaklumkan, murid-murid sekolah berkenaan terpaksa mengikuti sesi PdP di khemah dan koridor masjid adalah berpunca daripada kerosakan sebahagian infrastruktur akibat pergerakan tanah dan cerun.

Katanya, situasi itu menyebabkan keadaan sekolah tidak lagi berada pada tahap selamat untuk digunakan.

Oleh itu, tindakan segera akan diambil termasuk memindahkan sementara murid terlibat terlibat ke SK Pekan Beluran serta menyediakan kemudahan pengangkutan ke sekolah berkenaan.

“KPM memberi jaminan akan memastikan akses pendidikan dan keselamatan murid di SK Balaban Jaya terus terpelihara susulan isu kerosakan infrastruktur di sekolah berkenaan.

“Langkah itu bertujuan memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas, di samping mengelakkan beban kepada ibu bapa.

“Beberapa sesi libat urus telah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bersama pihak berkepen­tingan termasuk ibu bapa dan masyarakat setempat bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya semalam.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memberitahu, KPM akan membuka tender bagi kerja-kerja naik taraf SK Balaban Jaya pada awal bulan hadapan.

Katanya, kerja-kerja tersebut akan mula dilaksanakan selepas kontraktor dilantik bagi memastikan murid dapat kembali belajar dalam keadaan selamat dan kondusif.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM2.2 juta telah disalurkan bagi membaik pulih blok bangunan terlibat.

“Blok bangunan yang sebelum ini digunakan sebagai bilik darjah di sekolah tersebut didapati telah uzur dan tidak dapat digunakan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN