Guna laluan sah, ICQS Rantau Panjang buka seawal pukul 6 pagi

Guna laluan sah, ICQS Rantau Panjang buka seawal pukul 6 pagi

KOMPLEKS ICQS Rantau Panjang, Kelantan dibuka seawal pukul 6 pagi setiap hari -UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penduduk di negeri ini termasuk pelajar sekolah diingatkan supaya mematuhi undang-undang dengan menggunakan laluan sah ketika melakukan aktiviti rentas sempadan Malaysia-Thailand bagi mengelakkan mereka berdepan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang malah dibuka seawal pukul 6 pagi setiap hari.

“Rakyat mesti menghormati undang-undang negara. Melintas sempadan melalui pangkalan haram adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen.

“Ia selaras dengan penguatkuasaan penutupan pangkalan haram di sepanjang sempadan negeri ini yang dilaksanakan sejak 1 Disember 2024 bagi mengekang aktiviti rentas sempadan secara tidak sah,” katanya hari ini.

Beliau mengulas mengenai 34 orang pelajar beberapa buah sekolah di Rantau Panjang yang ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam kerana melakukan aktiviti rentas sempadan melalui pangkalan haram.

Mohd. Yusoff memberitahu, isu melibatkan rentas sempadan pelajar Malaysia yang menetap di Thailand telah diselesaikan sejak awal pelaksanaan penutupan laluan haram melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Dalam tempoh tiga bulan pertama, sudah selesaikan isu melibatkan pelajar. Setahun lebih tiada masalah, tetapi sekarang timbul semula. Kami dapati ada segelintir pihak cuba mencetuskan provokasi terhadap undang-undang sedia ada,” ujarnya.

Katanya, tindakan undang-undang yang diambil ke atas pelajar terlibat bertujuan mendidik dan bukan memberi tekanan kepada mereka.

Jelasnya, kesemua pelajar itu dikumpul dan diberi taklimat mengenai peraturan dan pelaksanaan undang-undang tersebut.

“Saya harap semua pihak termasuk pelajar dan penduduk di kawasan sempadan mengambil iktibar daripada insiden berkenaan,” ujarnya.

Media semalam melaporkan, seramai 34 orang pelajar sekolah yang ditahan PGA selepas melakukan aktiviti rentas sempadan dengan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pergi ke sekolah dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi.

Kesemua pelajar dan murid-murid dari sekolah menengah dan dua sekolah rendah termasuk sekolah agama yang masing-masing berusia tujuh hingga 16 tahun itu dibebaskan kira-kira pukul 11.30 malam tadi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN