Rayuan Mastura, tiga pemimpin DAP ditolak

Rayuan Mastura, tiga pemimpin DAP ditolak

SITI Mastura Muhammad kekal perlu membayar RM750,000 kepada tiga pemimpin DAP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam sebulat suara menolak rayuan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM750,000 kerana memfitnah veteran dan pemimpin DAP dengan mengaitkan mereka dengan komunis.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid bersidang bersama-sama Datin Paduka Evrol Mariette Peters dan Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar turut sebulat suara menolak rayuan silang yang dikemukakan oleh tiga pemimpin DAP itu yang tidak berpuas hati dengan jumlah ganti rugi itu.

“Dapatan Mahkamah Tinggi berhubung liabiliti dan jumlah ganti rugi adalah betul dan disokong dengan alasan yang kukuh (well-reason) dan berdasarkan penilaian fakta dan undang-undang.

“Keseluruhan keputusan yang dibuat dan disampaikan oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Disember 2024 termasuk jumlah ganti rugi global serta kos adalah dikekalkan. Rayuan dan rayuan silang ditolak dan tiada sebarang perintah berhubung kos,” kata Hakim Ahmad Kamal.

Pada 4 Disember 2024, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memerintahkan Siti Mastura membayar RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 lagi kepada Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa kerana memfitnah mereka.

Siti Mastura turut diarah membayar kos guaman sebanyak RM25,000 kepada setiap seorang plaintif terbabit.

Pada 23 Januari tahun lalu, Siti Mastura telah menyelesaikan pembayaran sebanyak RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman (termasuk faedah) kepada tiga plaintif berkenaan.

Pada prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom, peguam Yusfarizal Yussoff hadir bagi pihak Siti Mastura manakala Kit Siang, Guan Eng dan Teresa diwakili peguam Datuk Sankara Nair.

Ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit, Hakim Ahmad Kamal antaranya menyatakan Mahkamah Rayuan mendapati bahawa rayuan yang difailkan dan rayuan silang tersebut tidak mempunyai sebarang merit.

Ujarnya, Mahkamah Tinggi membuat dapatan yang betul apabila memutuskan bahawa pembelaan komen adil tidak terpakai kerana ia tidak boleh dibina atas asas fakta yang palsu.
“Pembelaan justifikasi juga tidak boleh diguna pakai apabila defendan (Siti Mastura) gagal mengemukakan sebarang bukti yang menunjukkan hubungan kekeluargaan di antara Kit Siang, Guan Eng dan Teresa dengan Chin Peng (pemimpin komunis).

“Dakwaan bahawa kenyataan fitnah yang dibuat berdasarkan buku yang disebut sebagai ‘Comms Barisan Nasional’, adalah tidak boleh diterima kerana ia kekal sebagai penerbitan yang tidak dapat disahkan kewujudannya kerana defendan gagal memanggil penulis buku berkenaan dan keasliannya tidak dapat dipastikan.

“Kami juga tidak mendapati sebarang kesilapan dalam dapatan Mahkamah Tinggi mengenai niat jahat. Tindakan defendan tidak menarik balik kenyataan, tidak memohon maaf (termasuk) menukar nama keluarga bekas Perdana Menteri Singapura daripada “Lee” kepada “Lim” bagi menyokong naratif palsunya (menunjukkan niatnya).

“Lebih penting, sebagai ahli Parlimen yang berkelulusan PhD, beliau mempunyai akses mudah kepada plaintif tetapi tidak berusaha menghubungi mereka untuk pengesahan. Ini menunjukkan pengabaian sengaja terhadap kebenaran, yang merupakan inti pati niat jahat,” katanya.

Berhubung rayuan balas, panel Mahkamah Rayuan itu menyatakan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah mengambil kira semua faktor yang relevan, termasuk tahap keseriusan tuduhan, skop penyebaran dan pengaruh penerbitan, kesan terhadap reputasi plaintif, serta tingkah laku defendan.

“Walaupun fitnah tersebut sememangnya serius, jumlah yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi adalah wajar dan memenuhi tujuan utama iaitu memberi pampasan kepada plaintif serta memulihkan reputasi mereka.

“Tiada kesilapan dari segi prinsip atau fakta yang membolehkan mahkamah ini campur tangan terhadap penilaian ganti rugi oleh hakim Mahkamah Tinggi. Sehubungan itu, rayuan balas adalah ditolak,” kata Hakim Ahmad Kamal.

Kit Siang, Guan Eng dan Teresa memfailkan saman fitnah terhadap Siti Mastura berhubung ucapan beliau dalam ceramah Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah Pilihan Raya Kecil Kemaman (PRK) pada 4 November 2023.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan secara berasingan, mereka mendakwa Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan parti komunis dan ketuanya, Chin Peng, serta bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN