PKR cabang Kangar bergolak, sekumpulan 15 AJK didakwa letak jawatan - Utusan Malaysia

PKR cabang Kangar bergolak, sekumpulan 15 AJK didakwa letak jawatan

NOOR Amin Ahmad dan Gan Ay Ling.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: PKR cabang Kangar bergolak apabila sekumpulan 15 Ahli Jawatankuasa (AJK) termasuk Timbalan Ketua cabang yang menang dalam pemilihan lalu didakwa meletak jawatan sejak pertengahan Mac lalu.

Menurut sumber dalaman PKR, tindakan tersebut dibuat susulan kekecewaan yang memuncak terhadap pucuk kepemimpinan PKR cabang itu yang didakwa gagal bertolak ansur sekali gus menyukarkan ruang kerjasama.

Sumber itu berkata, mereka juga telah mengemukakan surat dan laporan rasmi kepada Setiausaha Agung PKR bagi membangkitkan soal ketidakselarasan dan kelemahan pengurusan di peringkat cabang berkenaan.

“Rata-rata AJK yang menang dalam pemilihan lalu hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Cabang Kangar yang dilihat tidak boleh bertoleransi serta enggan menerima pandangan daripada ahli jawatankuasa sendiri.

“Keputusan tersebut dibuat secara sukarela tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak.

“Peletakan jawatan beramai-ramai itu bukan sahaja mencerminkan keretakan serius di peringkat cabang, malah memberi gambaran bahawa usaha penyelesaian yang telah diambil sebelum ini gagal meredakan konflik dalaman,” kata sumber berkenaan di sini semalam.

Mereka yang meletak jawatan tersebut adalah barisan daripada kem Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling yang menang dalam pemilihan tahun lalu.

Dalam pemilihan tersebut, Ay Ling tewas kepada Noor Amin Ahmad bagi perebutan jawatan Ketua Cabang Kangar, namun calon-calon dari kem Timbalan Pengerusi PKR negeri itu menang khususnya bagi jawatan naib ketua cabang dan seluruh barisan ahli jawatankuasa dengan margin perbezaan undi besar iaitu lebih 100 sehingga 265 undi.

Calon daripada kem Noor Amin pada masa itu termasuk bagi jawatan timbalan, naib, Ketua Wanita dan ahli jawatankuasa cabang Kangar yang bertanding dalam pemilihan itu tewas.

Sementara itu, Ay Ling berkata, situasi tersebut dilihat membuka persoalan mengenai keupayaan kepemimpinan cabang dalam mengurus perbezaan pandangan serta memastikan kestabilan organisasi di peringkat akar umbi.

“Saya difahamkan 15 AJK meletak jawatan yang menunjukkan kurang keyakinan dalam meneruskan kerjasama dengan ketua cabang dan hilang keyakinan terhadap kepemimpinan.

“Bila berlaku situasi ‘badan tanpa kepala’ dalam pemilihan lalu menyebabkan ketidakstabilan dan ia sudah berlaku di cabang Kangar ketika ini.

“Saya harap, mereka yang dilantik memegang jawatan dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan itu melaksanakan kerja dengan sebaik-baiknya. Perlu lebih banyak gerak kerja terutama di peringkat akar umbi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN