KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak dakwaan yang parti itu akan bekerjasama dengan PKR berikutan spekulasi pertemuan antara Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan ARMADA, Harris Idaham Rashid berkata, parti itu konsisten sehingga hari ini untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang juga dianggotai oleh DAP.
Katanya, sehingga kini tiada sebarang perancangan ke arah membentuk kerjasama politik antara Bersatu dan PH.
“Setakat ini tiada sebarang perancangan ke arah itu. Sebaliknya, fokus Bersatu bersama Pas, Parti Gerakan Nasional (Gerakan), MIPP dan IPR bagi memperkukuh PN sebagai blok pembangkang untuk berdepan PH pada pilihan raya umum akan datang.
“Matlamat utama adalah memastikan PN mampu melepasi 111 kerusi bagi membentuk kerajaan sendiri. Namun, jika jumlah itu tidak dicapai. Namun, kebijaksanaan kepimpinan PN akan diuji untuk menentukan bentuk kerjasama politik yang sesuai selepas pilihan raya.
“Bagaimanapun, buat masa ini pendirian parti kekal jelas iaitu tidak bercadang bekerjasama dengan DAP,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan pertemuan Anwar yang juga merupakan Presiden PKR bersama Mohamed Azmin, dipercayai bagi membincangkan tentang jajaran baharu dalam politik.
Perkara itu turut dipersoal bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan dakwaan mengenai siri pertemuan sulit Mohamed Azmin dengan Anwar.
Malah, perkara sama turut dipersoal bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi podcast dengan menyebut: “Dan mungkin kena tanya Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sebab dia yang selalu jumpa Azmin sekarang kan. Dia ada plot twist yang lain.”
Namun, dakwaan tersebut tidak dijawab Mohamed Azmin sehingga hari ini.
Mengulas lanjut, Harris Idaham berkata, penyatuan parti politik Melayu ini perlu dirangka sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang supaya undi itu tidak berpecah.
“Cuma, ke semua presiden parti harus berlapang dada dan menurunkan ego masing-masing untuk duduk semeja dan menyedari bahawa kita tidak boleh bertanding di semua tempat dengan menggunakan parti sendiri.
“Kita kena berlapang dada untuk menginsafi bahawa parti kita tidak kuat di semua tempat dan kita juga perlu membahagikan kerusi itu dengan seadil-adilnya supaya perancangan besar untuk menyatukan parti-parti Melayu itu tercapai.
“Yang menjadi masalah sekarang ini apabila ke semua presiden-presiden parti Melayu yang besar ini mempunyai cita-cita yang terlampau besar sehingga tidak mahu berkongsi kuasa,” katanya. – UTUSAN










