KUANTAN: Taktik licik dua lelaki bersembunyi di sebalik pintu rahsia di bawah lantai sebuah rumah rakit bagi meloloskan diri daripada pihak berkuasa akhirnya terbongkar apabila mereka berjaya diberkas dalam operasi bersepadu di Sungai Kuantan, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, anggota penguatkuasa menyerbu sebuah rumah rakit yang turut dijadikan jeti bot memancing di Kampung Razali, di sini.
Pemeriksaan lanjut di sebuah bilik dalam rumah rakit tersebut membawa kepada penemuan pintu rahsia yang dibina pada lantai. Sebaik dibuka, kedua-dua suspek bertindak menyelam ke bawah rumah rakit untuk meloloskan diri.
Bagaimanapun, tindakan pantas anggota penguat kuasa berjaya memberkas dua lelaki berusia lingkungan 30-an dan 50-an itu kira-kira 15 minit kemudian. Pemeriksaan di bilik sama turut menemukan bekas plastik lutsinar mengandungi dua paket plastik disyaki dadah serta peralatan menghisap bahan terlarang tersebut.
Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.
Kejadian itu merupakan antara beberapa kes yang dikesan sepanjang Op Guardian Bilangan 1/2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.
Penolong Pengarah 2 Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Rina Sharlinda Zabri berkata, operasi bersepadu itu melibatkan 11 agensi penguatkuasa dengan kekuatan 65 anggota.
Menurutnya, operasi itu memberi tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang secara menyeluruh dalam usaha membanteras jenayah maritim di perairan Pahang.
“Setakat ini, beberapa tangkapandibuat melibatkan agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan AADK, dengan orang kena tahan (OKT) sedang melalui proses pemeriksaan lanjut. Operasi ini dijalankan selama 48 jam secara berterusan dan hasil keseluruhan tangkapan akan diumumkan pada hari ketiga,” katanya dalam sidang akhbar di sini. – UTUSAN










