Pisah dengan Bersatu: PN Pahang bakal hadapi laluan berliku tawan Pahang pada PRU16 - Utusan Malaysia

Pisah dengan Bersatu: PN Pahang bakal hadapi laluan berliku tawan Pahang pada PRU16

WAN Rosdy Wan Ismail ketika ditemui pemberita pada Program Inisiatif Makmur (IM) Pahang pengagihan buku rujukan dan latihan peperiksaan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Purun di Bera, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Misi Perikatan Nasional (PN) Pahang untuk menawan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bakal berdepan laluan berliku susulan keputusan Pas memutuskan hubungan serta merta dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Isnin lalu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, senario politik semasa memperlihatkan hubungan antara Pas dan Bersatu semakin renggang sehingga menimbulkan persoalan terhadap kekuatan sebenar gabungan PN di negeri ini.

“Pas Pahang yang sebelum ini begitu yakin mahu menawan negeri ini nampaknya kini berdepan laluan yang complicated (sukar), jalan yang berliku-liku selepas mereka menolak Bersatu daripada Perikatan Nasional.

“Sama ada PN Pahang boleh ‘tutup kedai’ atau tidak, biarlah rakyat membuat tafsiran sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Program Inisiatif Makmur (IM) Pahang menerusi pengagihan buku rujukan dan latihan peperiksaan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Purun di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan politik semasa membabitkan hubungan politik Pas dan Bersatu yang dilihat semakin retak sehingga menimbulkan tanda tanya berhubung kerjasama kedua-dua parti itu menjelang PRU16.

Pada sidang akhbar di Kerdau bulan lalu, PN Pahang dengan penuh keyakinan menetapkan sasaran besar untuk menawan negeri ini pada PRU16 menerusi misi memenangi sekurang-kurangnya 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 10 kerusi Parlimen.

Sasaran tersebut menjadi antara enam resolusi utama yang dicapai dalam sesi pemukiman pimpinan tertinggi PN Pahang melibatkan Pas, Bersatu dan Gerakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN