PGA rampas stok lembu korban RM39,000

PGA rampas stok lembu korban RM39,000

LEMBU seludup dari Thailand yang dirampas di Kampung Manan, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan dipercayai untuk dijadikan sebagai stok korban untuk sambutan Hari Raya Aidiladha.-IHSAN PGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 13 ekor lembu seludup dari Thailand yang dipercayai untuk dijadikan sebagai stok korban pada sambutan Hari Raya Aidiladha selepas menahan dua lelaki di Kampung Manan, Bunut Susu di sini semalam.

Kedua-dua suspek berusia 22 dan 25 tahun itu ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada pukul 9.30 malam.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah mengesan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori itu telah menemukan 13 ekor lembu yang dianggarkan berjumlah RM39,000.

“Semasa ditahan, pemandu lori terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan atau kebenaran membawa haiwan berkenaan.

“Hasil soal siasat mendapati, kedua-dua lelaki terbabit memberitahu mereka mengambil lembu tersebut di Kandang Ijo, Kampung Palas Merah, Telaga Bata sebelum dihantar ke kandang di Binjai, Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, mereka mendakwa menerima upah RM70 bagi tugasan penghantaran tersebut.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan manakala kes dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati semua lembu itu dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui laluan tidak diwartakan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN