TUMPAT: Seorang pelajar lelaki yang terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam 5.5 meter di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di sini menerima lapan jahitan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi, mangsa berusia 17 tahun dikatakan berdiri di atas perigi bertutup konkrit yang kemudiannya tiba-tiba terjatuh ke dalam telaga tersebut.
Menurut sumber, pelajar tingkatan lima itu baru selesai solat sunat di surau dan akan menduduki peperiksaan kertas Bahasa Arab pada pukul 11 pagi.
Katanya, sambil menunggu peperiksaan bermula, dia melihat pelajar berkenaan telah memijak penutup kontrik pada perigi tersebut.
“Perigi bertutup konkrit itu berada di hadapan surau dan menjadi lokasi pelajar berehat kerana disediakan meja dan kerusi batu.
“Tidak sempat saya tegur kelakuannya itu tiba-tiba saya dengar bunyi berdetum seperti batu terjatuh sambil terdengar suara meraung,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sumber memberitahu, dia terus bergegas melihat ke dalam telaga itu dan pelajar itu bernasib baik kerana masih sedar walau pun kepalanya cedera.
“Kami cuba menyelamatkannya kerana bimbang telaga itu ada air sedalam 0.3 meter.
“Tukang kebun turun menggunakan tangga untuk menyelamatkannya tetapi hanya dapat turun separuh kedalaman kerana sesak nafas,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, seorang pelajar tingkatan lima berdepan detik cemas selepas terjatuh ke dalam perigi sedalam 5.48 meter di sebuah sekolah di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.10 pagi itu, mangsa dikatakan duduk diatas penutup perigi yang diperbuat daripada simen sebelum menduduki peperiksaan.-UTUSAN










