KANGAR: Pas Perlis kekal bersama serta terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah sehingga habis penggal.
Ketua Penerangan Pas negeri, Mohamad Zahid Ibrahim berkata, Pas negeri turut menegaskan tidak ada sebarang usul undi tidak percaya daripada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang akan dikemukakan terhadap Menteri Besar dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.
“Kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi PN Perlis (Datuk Seri Shahidan Kassim) berhubung pendirian sokongan kepada kerajaan PN negeri serta ketiadaan usul undi tidak percaya dalam sidang DUN tersebut adalah dalam pengetahuan dan telah dimaklumkan kepada Badan Perhubungan Pas negeri menerusi mesyuarat yang diadakan pada 20 April lalu,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, polemik Abu Bakar akan dijatuhkan menerusi undi tidak percaya di dalam sidang DUN dinoktahkan, apabila Pas mengesahkan enam wakil rakyatnya tidak akan bertindak mengemukakan usul berkenaan.
Pengerusi PN negeri, Shahidan menegaskan, dakwaan bahawa bakal berlaku undi tidak percaya sama sekali tidak berasas dan jika enam wakil rakyat berkenaan mengambil tindakan yang boleh bertentangan dengan pendirian Pas pusat itu, mereka akan dikenakan tindakan tegas.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri berkata, hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cukup baik dan parti itu kekal kekal menyokong kepemimpinan Abu Bakar sebagai Menteri Besar atas nama PN sehingga habis penggal.
Sebelum itu, enam wakil rakyat dari Pas menuntut penjelasan daripada Abu Bakar berhubung penangguhan sidang DUN Perlis yang disifatkan oleh mereka tidak pernah berlaku sebelum-sebelum ini.
Desakan tersebut diketuai Mohd. Shukri Ramli (Sanglang) bersama lima yang lain iaitu Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).
Wakil rakyat dari Pas itu turut mengingatkan Abu Bakar supaya tidak takut dengan bayang-bayang sendiri kononnya bakal berlaku undi tidak percaya terhadap beliau di dalam sidang DUN.
Manakala Abu Bakar, menghargai sokongan padu dinyatakan kepimpinan Pas negeri untuk beliau menerajui pentadbiran negeri sehingga habis penggal.
Abu Bakar berkata, beliau sangat menghargai usaha dilakukan oleh PN negeri dan Jawatankuasa Pas Perlis yang bermesyuarat bagi mencapai keputusan sokongan tersebut.
Kata ADUN Kuala Perlis itu, bagi mempertahankan pentadbiran kerajaan PN di negeri ini, setiap pihak perlu saling hormat-menghormati khususnya melibatkan sebarang keputusan yang dicapai.-UTUSAN










