ARAU: Nelayan di negara ini yang belum berdaftar dengan mana-mana persatuan nelayan kawasan disaran berbuat demikian bagi memperolehi manfaat bantuan disediakan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, pendaftaran sebagai ahli persatuan nelayan kawasan adalah sangat penting bagi membolehkan kerajaan dan lembaga mempunyai rekod lengkap untuk menyalurkan pelbagai insentif serta bantuan.
Beliau berkata, LKIM mengenalpasti masih ramai nelayan yang belum mendaftar bersama persatuan namun pihaknya tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar golongan terlibat.
“Nelayan perlu mendaftar di peringkat kawasan masing-masing, contohnya di Perlis selatan ini. Persatuan inilah yang akan memantau sama ada nelayan tersebut benar-benar aktif ke laut, sekali gus memastikan segala subsidi dan insentif kerajaan tepat ke poket nelayan tulen,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Faiz berkesempatan turun padang bagi menyantuni salah seorang anak nelayan, Nur Diana Zahirah Yusni, 18, di Kuala Sanglang, di sini, yang memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.
Muhammad Faiz berkata, pendaftaran sebagai ahli persatuan juga adalah sangat murah iaitu hanya pada kadar RM2 setahun namun terdapat banyak manfaat kebajikan disediakan.
“Antara manfaat disediakan adalah seperti bantuan bencana alam, pengurusan kematian, sakit dan pendidikan anak-anak di bawah Yayasan Nelayan Kebangsaan (YANEM),” katanya.
Muhammad Faiz berkata, buat masa ini, terdapat 80,000 ahli persatuan nelayan direkodkan aktif turun ke laut dan secara keseluruhan, terdapat 119,000 ahli berdaftar di seluruh negara ini.
Katanya, LKIM juga sentiasa komited untuk memastikan setiap nelayan dapat menjalankan pekerjaan itu secara sepenuh masa dan memenuhi syarat ditetapkan.
“Kita mahukan nelayan mendaftar ini menjadi nelayan tulen dan mereka kena penuhi syarat-syarat ditetapkan,” katanya.-UTUSAN










