BEIJING: Seekor ikan paus daripada spesies yang dilindungi, Bryde mengalami kecederaan selepas dilanggar oleh sebuah bot nelayan di kawasan perairan sibuk berhampiran pusat tumpuan pemerhatian mamalia itu di pinggir pantai selatan China.
Kejadian tersebut berlaku di luar perairan Pulau Weizhou dalam Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang pada 7 Februari lalu, iaitu sebuah kawasan yang kini menjadi daya tarikan utama pelancong melihat mamalia itu.
Seorang pelancong yang merakaman kejadian itu dengan menggunakan dron.
Rakaman itu memaparkan sebahagian badan paus timbul itu di permukaan laut untuk bernafas dan menyembur air beberapa kali ketika bot-bot pelancong lain berada di sekitar kawasan tersebut tidak jauh dari mamalia tersebut.
Namun, sebuah bot nelayan kemudian bergerak dengan laju melalui kawasan tersebut dan terus melanggar bahagian belakang badan paus berkenaan.
Imej yang dirakamkan selepas insiden itu mendedahkan kesan parut putih yang panjang pada badan haiwan tersebut, sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli konservasi dan penyelidik marin.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa bot yang terlibat dalam perlanggaran itu berdaftar sebagai Weizhou 0008 dan telah melengkapkan prosedur laporan berlepas sebelum meninggalkan pelabuhan.
Menurut kenyataan rasmi, pemilik bot tersebut telah bertolak dari Pelabuhan Nanwan pada pukul 6 pagi waktu tempatan untuk memasang pukat udang di kawasan tiga batu nautika dari pantai.
Pelanggaran itu berlaku sekitar pukul 3.30 petang waktu tempatan ketika bot tersebut dalam perjalanan pulang ke pelabuhan.
Pihak berkuasa menjelaskan bahawa reka bentuk bot berkenaan menyebabkan bahagian haluan terangkat semasa bergerak dan mengehadkan penglihatan kapten.
Pemilik bot dilaporkan hanya menyedari kehadiran paus tersebut apabila jaraknya kurang 10 meter, menyebabkan dia tidak sempat mengelakkan daripada melanggar paus tersebut. – AGENSI










