KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkukuh agenda pemerkasaan nelayan dan industri perikanan negara bagi memastikan kesejahteraan komuniti nelayan serta kelestarian sektor berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, komitmen tersebut mencerminkan hala tuju kerajaan dalam memperkukuh ekosistem industri perikanan negara meliputi perikanan tangkapan, perikanan darat serta sektor akuakultur secara lebih bersepadu dan mampan.
Katanya, antara fokus utama mesyuarat adalah memperkasa pembangunan industri tuna sebagai sektor bernilai tinggi yang berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab tuna serantau.
“Pembangunan rantaian bekalan tuna yang lebih cekap daripada pendaratan hingga pemprosesan diyakini mampu membuka peluang ekonomi baharu serta meningkatkan daya saing industri perikanan negara.
“Kerajaan turut meneliti cadangan pembinaan Kompleks Pendaratan Ikan di Hutan Melintang, Perak dan Sandakan, Sabah sebagai langkah strategik memperkukuh infrastruktur industri serta meningkatkan kecekapan operasi dan pemasaran hasil perikanan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Industri Perikanan (JPT-PPIP) di Parlimen hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelbagai inisiatif berimpak tinggi terus dilaksanakan selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Katanya, ia termasuk pemodenan vesel nelayan menggunakan teknologi automasi dan mesra alam, pemerkasaan kapasiti limbungan bot serta pembangunan fasiliti sokongan industri.
“Kerajaan kekal komited memastikan kebajikan komuniti nelayan terus terbela melalui pelbagai bentuk bantuan dan insentif termasuk Elaun Sara Hidup Nelayan, insentif hasil tangkapan, diesel bersubsidi serta bantuan perumahan khusus untuk nelayan B40.
“Melalui kerjasama erat antara kementerian, agensi serta pemain industri, sektor perikanan negara mampu berkembang secara lebih progresif, berdaya saing dan kekal menjadi sumber rezeki mampan kepada komuniti nelayan.
“Insya-Allah, agenda memperkasa komuniti nelayan akan terus menjadi keutamaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta keterjaminan bekalan makanan negara terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN










