LKIM tangguh bantuan kalau nelayan ingkar peraturan perikanan

LKIM tangguh bantuan sehingga nelayan patuh peraturan perikanan

ANGGOTA Maritim Malaysia Zon Kuala Kurau dan LKIM Perak membuat pemeriksaan ke atas sebuah bot dalam operasi bersepadu di Perairan Kerian dan Larut Matang semalam. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Pencerobohan zon tangkapan, penyalahgunaan minyak diesel bersubsidi antara kesalahan sering dikesan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak.

Pengarah LKIM Perak, Ahmad Zulkifli Ismail berkata, semua nelayan yang melakukan kesalahan itu termasuk penggunaan peralatan penangkapan ikan yang dilarang akan dikenakan tindakan tegas termasuk penangguhan bantuan.

“Semua kesalahan ini akan dikenakan tindakan tegas, termasuk penangguhan bantuan dan subsidi kerajaan kepada nelayan terlibat sementara siasatan dijalankan oleh agensi pe­nguat kuasa berkaitan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengetuai operasi bersepadu bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kurau di perairan Kerian dan Larut Matang Selama di sini semalam.

Turut serta Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Hairil Othman.

Ahmad Zulkifli berkata, tindakan tersebut diambil bagi memastikan pematuhan sepenuh­nya terhadap undang-undang perikanan, selain membendung ketirisan subsidi kerajaan melibatkan dana awam yang boleh menjejaskan kelestarian sumber perikanan negara.

“Kerajaan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan subsidi kepada nelayan di seluruh negara bagi meringankan kos operasi dan menjamin kelangsungan industri perikanan tempatan.

“Namun, ketirisan dan pe­nyalahgunaan subsidi diesel dikenal pasti sebagai isu nasional yang perlu ditangani secara tegas kerana memberi kesan langsung terhadap keadilan sosial dan keberkesanan dasar bantuan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Hairil berkata, kerjasama strategik antara pihaknya dan LKIM akan diteruskan berdasarkan penilai­an risiko semasa, dengan operasi bersepadu dirancang secara berkala bagi memastikan pematuhan undang-undang perikanan di perairan negara.

“Operasi bersama julung kali ini dilaksanakan di perairan Kerian dan Larut Matang, yang dikenal pasti sebagai kawasan aktif dengan aktiviti perikanan serta berisiko tinggi melakukan pelanggaran undang-undang,” katanya.

Katanya, sebanyak 65 kes tangkapan dan rampasan berkaitan pelanggaran Akta Perikanan 1985 direkodkan di perairan Kerian dan Larut Matang sepanjang tahun 2025 dengan 1,700 unit bubu naga telah dilucut hak dan dilupuskan.

“Statistik ini jelas menunjukkan keperluan penguatkuasaan berterusan yang dilaksanakan tanpa sebarang kompromi.

“Walaupun tiada kes pen­­­c­e­robohan zon dikesan sepanjang operasi bersepadu kira-kira tiga jam dari Kuala Kurau hingga Pasir Hitam, Mariitm Malaysia Zon Kuala Kurau berjaya merampas 15 unit bubu naga bernilai kira-kira RM1,500 yang tidak dibenarkan digunakan dalam akti­viti penangkapan ikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN