PASIR SALAK: Nelayan di Kampung Permatang Pelanduk di sini hidup dalam kebimbangan susulan kemunculan seekor buaya di Sungai Kinta yang dikesan sejak beberapa hari lalu.
Sungai berkenaan merupakan lokasi utama nelayan mencari rezeki selain terletak berhampiran kebun kelapa sawit dan menjadi tumpuan kaki pancing.
Seorang nelayan, Zainuddin Shaari, 61, berkata, dia bersama beberapa rakan ternampak reptilia itu ketika mereka memasang jaring di sungai tersebut kelmarin.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 petang apabila haiwan berkenaan dilihat mengekori bot yang dinaiki mereka.
“Kami berasa sangat takut apabila haiwan itu berenang mengekori bot, apatah lagi saiznya agak besar. Bagaimanapun, kami cuba bertenang dan terus memecut bot ke tebing.
“Pada mulanya kami tidak menyedari objek tersebut, namun selepas air berkocak kuat, barulah kami pasti ia seekor buaya. Kami sempat menyuluh dan menganggarkan panjangnya kira-kira 15 kaki,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zainuddin berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan nelayan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di Sungai Kinta.
Katanya, pekebun kelapa sawit di kawasan berhampiran turut bimbang kerana lokasi kemunculan buaya itu tidak jauh dari kebun mereka.
“Tahun lalu, penduduk menemui bangkai buaya di bawah pokok kelapa sawit dan berkemungkinan ia mati akibat bergaduh dengan buaya lain.
“Keadaan air yang cetek memudahkan buaya naik ke darat untuk mencari makanan, sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada pekebun,” katanya.
Menurutnya, kemunculan buaya di Sungai Kinta bukan perkara baharu, malah pernah berlaku kes seorang nelayan diserang haiwan itu tahun lalu, namun mangsa berjaya menyelamatkan diri.
“Kami berharap tiada kejadian buruk berlaku kerana sungai ini merupakan sumber rezeki kami dan tumpuan kaki pancing.
“Kami juga berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera termasuk memasang papan tanda amaran bagi memastikan orang ramai lebih berwaspada,” katanya. – UTUSAN










