LMS Batch 2: TLDM bakal terima misil SSM, SAM 

LMS Batch 2: TLDM bakal terima misil SSM, SAM 

MOHAMED Khaled Nordin (tiga dari kiri) bersama timbalannya, Adly Zahari (tiga dari kanan) bergambar dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali (dua, kanan) dan dua wakil syarikat kontraktor selepas menandatangani penganugerahan kontrak dan Program Kerjasama  Industri (ICP) pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini. Turut menyaksikan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman (dua, kiri). - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 24 misil permukaan ke permukaan (SSM) buatan Türkiye dengan nilai RM369.30 juta  akan dibekalkan untuk keperluan kapal tempur pesisir (LMS) batch kedua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijangka diterima tahun depan. 

Selain itu, TLDM juga akan dibekalkan sebanyak 48 misil permukaan ke udara (SAM) buatan Korea Selatan  dengan nilai kontrak RM372.69 juta untuk keperluan kapal jenis yang sama. 

TLDM juga dijangka menerima 29 misil permukaan ke Udara (SAM) bernilai RM504.5 juta dari MBDA menerusi pemeteraian Surat Hasrat (LOI) antara Kementerian Pertahanan dan syarikat Perancis.

Perolehan misil tersebut antara 12 kontrak perolehan bernilai RM1.13 billion yang berjaya dimeterai dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan kontrak terbabit antara 24 instrumen melibatkan RM3.54 billion yang ditandatangani bagi memperkukuhkan pertahanan negara dalam menghadapi cabaran-cabaran terkini.

Katanya, pemeteraian juga melibatkan  empat surat niat (LOI) bernilai lebih RM1 billion serta lapan surat tawaran Program Kolaborasi Industri (ICP) dianggarkan bernilai RM1.4 billion.

Beliau berkata, perolehan ditandatangani banyak melibatkan pembelian misil atau peluru untuk kapal LMS dan kapal tempur pesisir (LCS) yang sedang dibina.

“Justeru, ia (perolehan) bertujuan untuk memastikan bahawa kita mempunyai kekuatan tempur untuk kapal-kapal kita berasaskan kepada cabaran yang kita hadapi di Laut Cina Selatan untuk mengawasi perairan negara.

“Jadi kapal-kapal kita mesti mempunyai keupayaan-keupayaan, sebab itulah banyak membeli SSM untuk kelengkapan kapal kita, ia adalah keperluan-keperluan biasa yang kita sediakan,” katanya Majlis Menandatangani Kontrak dan Memorandum Persefahaman MINDEF sempena DSA dan NATSEC Asia 2026 di  Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini semalam.

Menurutnya, nilai pemeteraian direkodkan kali ini agak rendah berbanding sebelum ini kerana beberapa proses perolehan dibekukan.

“Kalau kita bandingkan dengan kontrak yang biasa kita berikan, nilai direkodkan lebih rendah berbanding sebelum ini. Kita sedia maklum pada awal tahun ini kita membekukan semua proses perolehan bagi kontrak-kontrak kita sehingga dua hingga tiga bulan tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, MINDEF selepas ini mengambil pendekatan untuk tidak lagi mengumumkan sebarang Surat Setuju Terima (LoA) selepas menganugerahkan LOI untuk mengelakkan persepsi awam terhadap perolehan sesuatu projek.

“Kita ada terdengar wartawan bangkitkan mengapa MINDEF dua kali naik ke pentas walhal sudah umum projek yang sama. Contohnya ada projek umum di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA), kemudian di DSA umum lagi jadi kita mengambil pendekatan tidak mahu umum dua kali,” katanya.

Mengulas mengenai ICP, beliau berkata, lapan surat tawaran berkenaan diberikan kepada syarikat-syarikat yang layak dengan syarat mereka mesti melakukan pemindahan ilmu bagi memantapkan penyertaan mereka dalam industri pertahanan negara.

Jelasnya, ICP selari dengan matlamat Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) untuk membangun dan mengupayakan syarikat-syarikat tempatan bertujuan mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap teknologi asing melalui kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.

Malaysia sebelum ini membeli tiga buah LMS daripada Turkiye dan dijangka menerima pada 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN