Krisis air Pulau Sebatik, 5,000 penduduk terjejas

Krisis air Pulau Sebatik, 5,000 penduduk terjejas

SELAMAT Ikok menunggu giliran bagi mengisi air ke dalam lebih 20 tong miliknya yang dihantar oleh pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS). - UTUSAN/NASRAWATI SYARIFUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Kira-kira 5,000 penduduk di Pulau Sebatik kini berdepan krisis bekalan air kritikal susulan kemarau berpanjangan sehingga paras air empangan utama menyusut.

Empat kampung terjejas ialah Kampung Bergosong, Kampung Wallace Bay, Kampung Sungai Tongkang dan Kampung Sungai Laba yang kini bergantung kepada penghantaran air serta sumber alternatif lain bagi meneruskan kehidupan harian.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati, empangan yang mempunyai kapasiti penuh 17 meter kini hanya berada pada paras 0.9 meter.

Bagi Selamat Ikok, 55, rutin hariannya kini berubah apabila dia terpaksa keluar seawal pukul 7 pagi dengan membawa lebih 10 tong kosong untuk menunggu ketibaan lori Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi mendapatkan bekalan air.

Menurutnya, walaupun pihak JANS menghantar bekalan air setiap dua hari, jumlah yang diterima masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan empat ahli keluarganya.

“Walaupun pihak JANS hantar air kepada kami, tapi kami tetap rasa tidak mencukupi sebab ada hadnya. Bukan kami sahaja yang perlukan air, tapi semua penduduk di sini.

“Paling banyak pun kami dapat 20 tong untuk dua keluarga. Untuk minum, mandi dan kegunaan tandas memang susah,” katanya ketika ditemui, di sini, pada Sabtu.

Selamat berkata, dia juga terpaksa membelanjakan kira-kira RM200 seminggu bagi mendapatkan air bersih untuk diminum dan kegunaan memasak.

Seorang lagi penduduk, Sarjono Khasdam, 75, berkata, rumahnya kini menjadi antara tumpuan penduduk untuk mendapatkan bekalan air bersih kerana memiliki mesin penapis air.

Katanya, air bersih itu dijual pada kadar minimum RM15 bagi satu tangki berkapasiti 1,600 liter, bukan untuk mengaut keuntungan, sebaliknya sekadar menampung kos elektrik penggunaan pam air.

“Kami kenakan bayaran bukan untuk mendapat keuntungan, tetapi hanya menampung kos bayaran elektrik kerana kami menggunakan pam air untuk disalurkan ke dalam tangki simpanan,” katanya.

Shahban A. Rahman, 52, berkata, dia menggali tanah sedalam kira-kira 100 kaki di halaman rumahnya bagi membina telaga tiub selepas belajar kaedah itu menerusi video di media sosial.

Menurutnya, telaga tiub berkenaan berjaya disiapkan pada tahun 2021 ketika Pulau Sebatik turut berdepan kemarau berpanjangan.

“Proses itu bukan mudah, tetapi saya teruskan juga kerana mahu penyelesaian jangka panjang untuk kurangkan beban keluarga. Saya belanjakan kira-kira RM600 untuk siapkan telaga tiub ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy menggesa Kerajaan Sabah mempercepat projek mendalam dan mengorek takungan air sedia ada di empangan itu sebagai inisiatif jangka panjang menangani krisis bekalan air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN