KUALA KRAI: Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu kilang di Kampung Chuchoh Puteri disini kerana disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan kayu tidak bercukai membabitkan nilai rampasan lebih RM1 juta semalam.
Dalam serbuan pukul 3 petang itu, PGA turut menahan tujuh individu masing-masing berusia antara 22 hingga 51 tahun termasuk seorang kerana untuk siasatan lanjut.
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa serbuan dilakukan pihaknya mendapati seorang lelaki sedang mengendalikan jentera berat membawa muatan kayu, manakala enam lagi pekerja berada di dalam kilang memotong kayu.
Katanya, pemeriksaan lanjut di kawasan kilang kayu sambil disaksikan oleh kerani premis berkenaan telah sejumlah kayu pelbagai spesies di atas mesin gergaji yang disyaki tidak bercukai.
“Pemeriksaan bersama cawangan Unit Berasaskan Kayu (IBK) Jabatan Perhutanan Kota Bharu mengesahkan kayu-kayu yang berada di kawasan kilang dipercayai tidak bercukai.
“Semakan lanjut oleh Jabatan Perhutanan mendapati keluar masuk kayu tidak dikemaskini di dalam buku rekod dan mesin-mesin serta jentera yang beroperasi disyaki memproses kayu tidak bercukai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kilang berkenaan didapati membeli kayu hutan tidak bercukai daripada penduduk tempatan pada harga RM12 sekaki sebelum diproses.
Katanya, kayu yang siap diproses akan dijual kepada agen dengan harga RM700.00 satu tan untuk pasaran di Kuala Lumpur.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984, manakala semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Kelantan untuk tindakan lanjut.
“Kesemua rampasan dianggarkan berjumlai lebih RM1 juta melibatkan jentera berat, dua mesin gergaji, mesin pengasah, 12 mata gergaji, 141 batang kayu bulat serta 3,035 batang kayu siap diproses,” ujarnya.










