Ketua Pengarah JAS didakwa terima rasuah RM100,000

Ketua Pengarah JAS didakwa terima rasuah RM100,000

WAN Abdul Latiff Wan Jaffar hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi berdepan pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM100,000 dari sebuah syarikat pada tahun lalu.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, 59, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM100,000, tahun lalu. 

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, Wan Abdul Latiff telah secara rasuah menerima bagi dirinya satu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM100,000 daripada Pengarah Syarikat Sunrich Conquest Sdn. Bhd, Khor Chong Hai. 

Wang itu diterima melalui Lee Ham Kong yang merupakan pengurus projek di syarikat sama, sebagai upah untuk mempertimbangkan rayuan bagi pengecualian penyediaan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA). 

Ia berhubung permohonan kebenaran merancang untuk cadangan membina Jalan Berkembar Bukit Kukus dan Kerja Tanah untuk Mitigasi di atas tanah lerajaan, Jalan Bukit Kukus, Mukim 13, Daerah Timur Laut, Paya Terubong, Pulau Pinang yang dimohon oleh syarikat Geo Valley Sdn. Bhd. melalui surat bertarikh 22 November 2024. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Wisma Sumber Asli, Persiaran Perdana Presint 4, di dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya, pada 15 Januari 2025.   

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di Bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN