Hanya 20 peratus bayar yuran selenggara di PPR Lembah Subang 1

Hanya 20 peratus bayar yuran penyelenggaran di PPR Lembah Subang 1

PPR Lembah Subang 1
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 didakwa berdepan masalah pengurusan apabila hanya 20 peratus yuran penyelenggaraan dikutip pada setiap tahun.

Peratusan kutipan sekitar RM1.2 juta itu tidak mencukupi untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan perumahan yang mempunyai 3,004 unit kediaman seperti lif, pam air, tangki, kebersihan dan keselamatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatan, Nurul Syazwani Noh berkata, selain berdepan masalah itu, PPR tersebut juga menghadapi kadar kutipan sewa yang rendah susulan kegagalan penduduk membayarnya selepas pejabat pembayaran ditutup sejak beberapa bulan lalu.

“PPR Lembah Subang 1 merangkumi sebanyak 3,004 unit kediaman dengan hampir 10,000 penduduk, menjadikannya sebuah ‘bandar menegak’ yang dihuni oleh rakyat berpendapatan rendah dan bergantung sepenuhnya kepada kecekapan pengurusan kerajaan.

“Namun begitu, realiti di lapangan amat membimbangkan. Kadar kutipan sewa dilaporkan rendah, sekitar 40 peratus manakala kerajaan negeri terpaksa menanggung puluhan juta ringgit kos tambahan bagi menampung penyelenggaraan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, beliau menyarankan kerajaan supaya meningkatkan peratusan kutipan sewa antara 50 hingga 70 peratus dan menambah dana bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

“Selain itu, saya mempersoalkan rasional kerajaan negeri mengambil sehingga 80% daripada kutipan sewa, sedangkan projek ini dibina oleh Kerajaan Persekutuan di atas tanah milik persekutuan dan hanya diserahkan kepada negeri untuk tujuan pengurusan,” soalnya.

Justeru, Nurul turut mencadangkan supaya kerajaan negeri melaksanakan skim Rent-to-Own (RTO) bagi meningkatkan rasa pemilikan dalam kalangan penduduk.

“Cadangan ini termasuk menjadikan PPR Lembah Subang 1 sebagai projek rintis RTO dengan garis panduan tertentu bagi memastikan hanya golongan layak mendapat manfaat,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN