SHAH ALAM: Sebanyak RM800 juta dibelanjakan oleh kerajaan negeri bagi projek penukaran paip sepanjang 285 kilometer (km) di Selangor sehingga tahun lalu sebagai langkah menangani isu air tidak berhasil (NRW).
Susulan itu, ketika ini kadar NRW dapat diturunkan kepada 27 berbanding 34 peratus sekitar 2017 hingga 2018 dan penggantian paip akan diteruskan dengan sasaran penukaran 300km.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, sasaran menurunkan kadar NRW menelan belanja yang tinggi apabila kerajaan negeri perlu mengeluarkan kos sehingga RM300 juta bagi menurunkan sekurang-kurangnya satu peratus.
“NRW bukan satu perkara yang mudah ditangani kerana kos untuk penggantian (tinggi). Tetapi, jangan ingat penggantian paip boleh mengurangkannya, banyak lagi perkara-perkara lain, tangki, menara tangki, injap dan banyak alat dan komponen lain serta isu kecurian yang perlu diteliti.
“Sebab itu menyebabkan ramai yang tidak berminat dan lebih rela membina loji rawatan air baharu di Selangor. Bukan masalah (penggantian) paip, termasuk juga pemasangan sebab kita perlukan tutup jalan terutama di kawasan padat,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran platform Agenda Ekonomi Hijau Selangor (SAGE) di sini, hari ini.
Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan, negara ini dianggarkan menanggung kerugian melebihi RM4 bilion daripada 33.4 peratus kadar NRW melibatkan Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding 2008 iaitu sekitar RM1.4 bilion, akibat air terawat yang tidak memberi pulangan kepada negara.
Jelas Izham, beliau menyasarkan kadar NRW di Selangor dapat diturunkan bawah 20 peratus dengan pelaksanaan pelan penurunan sehingga satu peratus pada setiap tahun.
Setiap tahun kita dapat turunkan, sekarang di sekitar 27 peratus di Selangor. Semakin mengecil kadarnya, semakin tinggi kos (untuk mengurangkan NRW), ia boleh mencecah RM400 hingga RM500 juta.
“Jangan ingat satu peratus itu sedikit. Sebab hendak turunkan bukan mudah kerana satu peratus itu melibatkan 6,500 juta liter air,” ujarnya.
Berkenaan SAGE, Izham memaklumkan platform itu merupakan papan pemuka bagi projek-projek bekalan tenaga di negeri ini selaras dengan Pelan Guna Ubah Tenaga Baharu (NETR) yang sedang dan akan dibangunkan.
Ia meliputi projek seperti Stesen Jana Tenaga Pulau Indah (PIPP), sisa kepada tenaga (WTE) di Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung 12, Kuala Langat serta perancangan kerajaan negeri untuk membina stesen janakuasa hidrogen serta loji nuklear. – UTUSAN










