SHAH ALAM: Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN) digantung dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026, hari ini.
Hilman Idham (PN-Gombak Setia) digantung selama dua hari pada hari ini dan esok selepas Ketua Angkatan Anak Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (Armada) itu meninggalkan tempat duduknya apabila permintaannya untuk mengemukakan soalan tambahan tidak dilayan.
Ketika itu, beliau mempersoal tindakan Speaker DUN Selangor, Lau Weng San apabila tidak membenarkannya mengemukakan soalan tambahan.
“Soalan tambahan, saya mahu kemukakan soalan tambahan. Ini dewan untuk apa tuan Speaker? Soalan tambahan tak boleh tanya, itu tak boleh tanya, macam mana duduk dalam negeri yang mengamalkan demokrasi.
“Tetapi ada seorang Speaker yang tak ada semangat untuk menegakkan demokrasi,” katanya selepas Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin selesai memberi penjelasan dalam sesi soal jawab di sini, hari ini.
Weng San kemudian mengarahkan Hilman untuk kembali ke tempat duduk, namun arahan itu tidak diendahkan menyebabkan beliau terus menggantungnya sehingga esok.
“Sijangkang (meminta Sijangkang meneruskan pertanyaan seterusnya dalam sesi soal jawab). Gombak Setia tolong duduk. Saya panggil Sijangkang. Gombak Setia Duduk.
“Saya membuat ruling, yang berhormat Gombak Setia, keluar dari dewan hari ini dan esok (digantung),” tegasnya.
Semalam, Utusan Malaysia jmelaporkan, Dr. Afif Bahardin (PN-Taman Medan) dan Mohd. Rafiq Mohd. Abdullah (PN-Kuang) digantung selama tiga hari oleh Weng San selepas mereka bangkit mempertikai Speaker menolak notis usul untuk membawa Wong Siew Ki (PH-Seri Kembangan) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor.
Notis usul itu diserahkan kepada DUN Selangor apabila Siew Ki dalam ucapan pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dikatakan mengingkari titah baginda berhubung larangan pembangunan ladang ternakan babi di negeri ini. – UTUSAN










